SHAH ALAM – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menyindir nilai lelongan gambar pemimpin Pakatan Harapan (PH) mencecah RM500,000 ketika gabungan itu menjadi kerajaan.
Beliau berkata, nilai tersebut mungkin boleh dibandingkan semula sekiranya gambar pemimpin PH dilelong ketika gabungan berkenaan tidak lagi menjadi kerajaan.
“Cumanya gambar pemimpin PH ini dilelong ketika PH jadi kerajaan.
“Nanti PH jadi pembangkang kelak, cuba lelong gambar sekali lagi, tengok nilai berapa laku,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Kenyataan itu dibuat susulan lelongan tongkat milik Presiden Pas yang berjaya dibida pada harga RM15,000 pada majlis makan malam Pas Melaka.
Pada 2018, gambar yang dirakam pada sidang media pertama pemimpin Pakatan Harapan (PH) selepas Tun Dr Mahathir Mohamad mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ketujuh pada 10 Mei lalu, dilelong pada harga RM500,000.
Gambar tersebut dirakam sehari selepas PH memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan ia dibeli oleh seorang pembida tempatan selepas bidaan dibuka pada harga RM100,000.
Sebanyak enam keping gambar pemimpin PH berjaya dilelong dengan jumlah RM1.22 juta pada Majlis Makan Malam Amal PH di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini malam tadi.
Ahmad Fadhli berpendapat harga RM15,000 bagi tongkat berkenaan sebagai nilai yang munasabah, selain menyindir pihak yang menganggap lelongan itu sebagai usaha ‘mengkeramatkan’ tongkat.
“Bila tongkat Tuan Guru Presiden Pas berjaya dilelong semalam dengan harga RM15,000, berduyun-duyun ‘ceplos’ memberi komen kononnya ada yang nak sembah tongkat, ‘mengkeramatkan’ tongkat dan lain-lain.
“Rilek bro, itu baru RM15,000, nilaian yang munasabah sahaja.
“Kalau itu sudah dianggap mengkeramatkan tongkat, ketika gambar pemimpin PH dilelong RM500,000, itu tentu lebih jauh daripada mengkeramat,” ulasnya.
