'Tonton dulu hingga habis, jangan pandai 'hentam' sahaja' – Sarimah

'Tonton dulu hingga habis, jangan pandai 'hentam' sahaja' – Sarimah

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi Che Puan Sarimah Ibrahim berkongsi pandangan terhadap sikap segelintir penonton apabila gemar mengkritik drama tempatan tanpa mengikuti keseluruhan jalan cerita.

Menerusi perkongsian di Threads, baru-baru ini, Sarimah menegaskan bahawa setiap karya membawa mesej tersendiri yang wajar difahami sebelum membuat penilaian.

Menurutnya, industri drama tempatan sebenarnya berusaha keras untuk menghasilkan karya terbaik walaupun berdepan pelbagai kekangan.

Katanya, industri hiburan tempatan kecil dan memerlukan sokongan penonton sendiri.

“Sis nak luahkan sesuatu yang sis dah simpan lama jugak. Kepada mereka2 yang kata drama local kita ni takde apa2 point ke originality or pengajaran.

“Please don’t bash your own local industry, we are small enough as it is. (Tolong jangan ‘hentam’ industri tempatan sendiri, (industri) kita sudah cukup kecil).

“We all KNOW improvement is a must and we try our best in the capacity we are given as a team. (Kita tahu penambahbaikan satu keperluan, dan kita berusaha sebaik mungkin mengikut kemampuan sebagai satu pasukan),” katanya.

Pada masa sama, pelakon drama Bila Cinta Menjadi Dosa itu turut menyentuh mengenai kecenderungan sesetengah pihak yang sering membandingkan drama tempatan dengan produksi luar negara.

Katanya, setiap penonton mempunyai selera tersendiri dan tidak semua karya perlu dinilai dengan piawaian yang sama.

“Tak payah jadi terpaling ‘fed up’ cause ratings don’t lie (sebab rating tidak menipu) and everyone (setiap orang) ada selera masing-masing. Takyah nak terpaling ‘Netflix’ vibe,” katanya.

Dalam perkongsian itu, Sarimah turut menjelaskan banyak kisah yang dipaparkan dalam drama tempatan sebenarnya mencerminkan realiti kehidupan sesetengah masyarakat.

Bagi sesetengah penonton, cerita-cerita ini menjadi ruang untuk memahami emosi dan memproses pengalaman hidup.

“These ‘drama’s actually happened to many people and reflect some people’s lives and emotions (paparan drama ini sebenarnya berlaku kepada ramai orang dan mencerminkan kehidupan serta emosi sesetengah individu). Dengan ‘drama’ nilah sahaja some people boleh feel and cope with some painful feelings (merasai dan menghadapi perasaan yang menyakitkan), katanya.

Selain itu, Sarimah turut mengingatkan penonton supaya menonton sesebuah siri sehingga tamat sebelum membuat penilaian.

Menurutnya, ia hanya akan dapat difahami sepenuhnya apabila keseluruhan cerita diikuti dari awal hingga akhir.

“Maybe… just watch series to the end, not just random snippets (tonton dulu siri itu hingga habis, bukan sekadar petikan sahaja). Maybe then (baru) paham sedikit apa ‘pengajaran’ and ‘point’ yang cuba disampaikan.” katanya lagi.

Perkongsian itu dilihat sebagai respons kepada kritikan segelintir penonton yang mengatakan kebanyakan drama televisyen kini sering mengangkat tema sama seperti isu curang atau konflik rumah tangga.

Justeru, penonton jangan terlepas mengikuti setiap episod drama Bila Cinta Menjadi Dosa di TV3 jam 9 malam setiap Jumaat hingga Ahad.

Drama 30 episod itu turut dibintangi Zamarul Hisham, Zairi Aziz, Alya Iman, Nelissa Nizam,dan Elizad Sharifuddin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top