hafizithnin@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: AirAsia kekal optimis dan tidak akan membatalkan sebarang penerbangan meskipun kenaikan harga minyak global memberi tekanan kepada kos operasi industri penerbangan.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, kenaikan tambang tidak dapat dielakkan.
Beliau berkata, walaupun kenaikan tambang tidak dapat dielakkan, namun kadar peningkatannya dijangka lebih rendah berbanding syarikat penerbangan lain.
“Walaupun berdepan cabaran kos bahan api yang meningkat, permintaan terhadap perjalanan udara ketika ini masih kukuh.
“Permintaan masih tinggi, malah lebih baik berbanding sebelum ini kerana ramai memilih untuk melancong dalam rantau ini berbanding ke Eropah atau Amerika Syarikat,” katanya dalam sedia media perkembangan terbaharu Capital A di sini, hari ini.
Pada sidang media itu, Capital A mengumumkan pelantikan Effendy Shahul Hamid sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif berkuat kuasa 6 April 2026, bagi memperkukuh barisan kepimpinan dalam fasa pertumbuhan syarikat yang seterusnya.
Susulan pelupusan perniagaan penerbangannya kepada AirAsia X Berhad (AirAsia X) pada Januari 2026, Capital A kini memberi fokus untuk mengembangkan dan memperluas perniagaan terasnya yang lain, iaitu Asia Digital Engineering (MRO), Teleport (logistik), AirAsia MOVE (platform mobiliti dan pelancongan), AirAsia Next (pengurusan jenama dan harta intelek) dan Santan (makanan dan minuman).
Jelasnya, pengurangan kapasiti penerbangan oleh syarikat dari rantau Teluk seperti Emirates, Qatar Airways dan Etihad Airways turut menyumbang kepada peningkatan permintaan, dianggarkan membabitkan 15 hingga 20 peratus tempat duduk penerbangan.
“Situasi ini menyebabkan penerbangan menjadi penuh. Saya sendiri terpaksa menunggu penumpang tidak hadir untuk mendapatkan tempat duduk ketika pulang dari Vietnam,” katanya.
Mengulas lanjut, Tony berkata keuntungan Capital A tidak terjejas walaupun harga minyak meningkat.
“Keuntungan bagi Capital A tidak terkesan walaupun harga minyak meningkat dua kali ganda. Namun, kesan kenaikan harga tetap wujud pada tahap minimum.
“Saya tidak pernah kata tiada impak, tetapi impaknya kecil. Kadang kala harga makanan akan meningkat kerana kos makanan akan naik,” katanya.
Menurutnya, beberapa segmen perniagaan turut menerima kesan tidak langsung bergantung kepada permintaan semasa.
“Jika tambang meningkat, mereka mungkin mengutip lebih banyak hasil, melainkan permintaan menurun, tetapi setakat ini kami belum melihat penurunan itu,” katanya.
Mengulas mengenai operasi logistik, beliau berkata situasi semasa turut membuka peluang baharu kepada syarikat.
“Permintaan kini lebih tinggi kerana kapasiti dari syarikat penerbangan lain berkurang dan kos itu dipindahkan kepada pelanggan mengikut kontrak,” katanya.
Dalam pada itu, Tony menegaskan keutamaan syarikat adalah memastikan tambang kekal serendah mungkin sambil mengurus peningkatan kos.
“Kami perlu menaikkan tambang, tiada pilihan lain. Kami juga perlu mengurangkan kos operasi dan meningkatkan sumber pendapatan lain,” katanya.
Menurutnya, usaha mengekang kesan kenaikan harga tidak boleh dipikul oleh syarikat penerbangan sahaja.
“Kami perlu mendapatkan kerjasama daripada semua pihak termasuk kawalan trafik udara, syarikat minyak dan pihak lain dalam industri penerbangan,” katanya.
Sementara itu, AirAsia akan menggunakan tempoh permintaan yang sedikit rendah selepas Hari Raya untuk menyelenggara pesawat bagi meningkatkan prestasi ketepatan masa.
Mengulas lanjut, katanya, syarikat itu akan terus bergerak ke hadapan dan melihat cabaran semasa sebagai peluang untuk penambahbaikan.
“Kami tidak akan membatalkan penerbangan dan kekal yakin akan keluar daripada situasi ini dengan lebih kukuh,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




