Milan: Juara tiga kali Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK), Toprak Razgatlioglu tidak bimbang mengenai kekurangan yang dihadapi Yamaha menjelang perpindahannya ke pasukan Pramac Yamaha MotoGP pada 2026.
Walaupun pelumba utama Yamaha, Fabio Quartararo berulang kali menegaskan bahawa dia tidak akan terus menunggu sekiranya jentera 2026 tidak kompetitif, Toprak tetap yakin jenama Jepun itu akan kembali ke prestasi terbaik, meskipun bakal menamatkan musim ini di kedudukan terakhir kategori pengeluar.
“Saya tidak bimbang kerana pihak Yamaha percaya kepada saya. Kami sering berbincang, dan mereka semua bekerja keras untuk menambah baik jentera.
“Ia mungkin bukan jentera terbaik ketika ini, tetapi saya rasa Yamaha sentiasa melakukan penambahbaikan dan sebelum ini mereka memang hebat.
“Sama juga dengan Honda. Kini Ducati sangat hebat, baik dalam MotoGP mahupun Superbike, tetapi saya percaya Yamaha akan kembali lebih kuat. Kita akan lihat nanti.
“Saya bersedia bekerja untuk membantu meningkatkan prestasi jentera, dan saya sentiasa memberikan yang terbaik dalam perlumbaan. Fokus saya sentiasa tinggi,” kata Toprak kepada GPOne di EICMA.
Toprak menandatangani kontrak dua tahun bersama Yamaha, yang membawanya sehingga era peraturan baharu MotoGP pada 2027.
Namun, dia tidak menolak kemungkinan kembali ke WorldSBK sekiranya gagal mencapai impiannya untuk memenangi perlumbaan dan meraih podium dalam kelas perdana itu.
“Masih terlalu awal untuk bercakap mengenainya. Saya perlu lihat dahulu bagaimana suasana di paddock MotoGP. Jika saya meraih banyak podium di sana, mungkin saya akan terus kekal,” kata pelumba Turki itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




