Barcelona: Ferran Torres dan Lamine Yamal memastikan Barcelona menang 2-0 ke atas Racing Santander untuk mara ke suku akhir Copa del Rey pada Khamis.
Jaringan kedua-dua pemain antarabangsa Sepanyol itu membantu juara bertahan, Barca menewaskan pendahulu divisyen dua, Racing dalam perlawanan pusingan 16 terakhir yang berlangsung sengit dan mencatat kemenangan ke-11 berturut-turut dalam semua pertandingan.
Dua gol tuan rumah dibatalkan kerana ofsaid dan pemegang rekod juara 32 kali itu melakukan secukupnya untuk meraih kemenangan.
“Kami tidak menyangka mereka akan begitu sukar untuk ditembusi,” kata Torres kepada Movistar.
“Kami tahu perlu membuka permainan, kekal tenang dan akhirnya semuanya berjalan lancar.”
Selepas menyaksikan Real Madrid tersingkir di tangan pasukan divisyen dua, Albacete pada Rabu, jurulatih Barca, Hansi Flick menurunkan barisan yang agak kuat termasuk bintang remaja, Yamal.
Selepas kelewatan 15 minit akibat sebahagian penyokong terkandas di luar stadium, perlawanan dimulakan di Stadium Sardinero milik Racing, dengan Barca segera menguasai bola.
Bagaimanapun, pasukan Catalan itu bergelut untuk menukar penguasaan itu kepada peluang berbahaya dan apabila peluang hadir Dani Olmo gagal menyempurnakan sepakan hasil hantaran lintang berbahaya Marcus Rashford.
Racing cuba menembusi benteng pertahanan tinggi Barcelona, namun apabila mereka berjaya melepasi barisan itu, pasukan pelawat cekap mengawal keadaan.
Percubaan rendah dari jarak jauh oleh Giorgi Guliashvili mudah ditangkap penjaga gol, Joan Garcia dan ia adalah peluang terbaik tuan rumah.
Barcelona terus menekan pada separuh masa kedua dengan Rashford menyaksikan satu percubaannya ditepis keluar dan satu lagi sedikit tersasar.
Akhirnya juara Sepanyol itu mendahului menerusi Torres yang mengatasi penjaga gol Racing, Jokin Ezkieta sebelum menolak bola masuk.
Tuan rumah meningkatkan serangan dan dua kali bola masuk ke gawang Barcelona, namun kedua-dua gol oleh Manex Lozano dibatalkan kerana ofsaid.
Garcia, melakukan satu aksi menyelamat cemerlang untuk menafikan Lozano dalam situasi satu lawan satu pada masa kecederaan, sekali gus mengelakkan perlawanan berlanjutan ke masa tambahan.
Barca mengesahkan kemenangan dengan sentuhan terakhir perlawanan apabila Yamal menyambar hantaran lintang Raphinha.
“Kami bermain seperti yang sepatutnya, kami beraksi 10 daripada 10, dua gol ofsaid dan peluang di penghujung perlawanan.
“Tidak mengapa, itulah bola sepak,” kata pertahanan Racing, Alvaro Mantilla.
Dalam perlawanan lain, Valencia menang 2-0 di tempat lawan menentang Burgos untuk mara ke suku akhir.
© New Straits Times Press (M) Bhd




