Tottenham berpeluang hapus musim suram jika tewaskan United di final Liga Europa

Tottenham berpeluang hapus musim suram jika tewaskan United di final Liga Europa

London: Tottenham Hotspur bakal melangkah ke San Mames, awal pagi Khamis ini, dengan satu misi besar menamatkan kemarau trofi sejak 2008 dan membawa pulang kejuaraan Eropah pertama selepas lebih empat dekad.

Walaupun kempen domestik mereka musim ini dianggap paling buruk sejak 1976-77 apabila skuad kendalian Ange Postecoglou kini menghuni tangga ke-17 Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 21 kekalahan semua kegagalan itu bakal dilupakan andai mereka berjaya menjinakkan Manchester United dalam aksi final Liga Europa.

Tatkala permulaan kempen Eropah September lalu menyaksikan Spurs mencatat kemenangan meyakinkan 3-0 ke atas FK Qarabag, tidak ramai menjangka kedua-dua kelab gergasi yang kini bergelut dalam liga, akan melangkah ke pentas final.

Bagi Tottenham, kemenangan bukan sahaja menamatkan penantian sejak menjulang Piala Liga 2008, malah menjamin slot ke Liga Juara-Juara musim depan, pentas yang kali terakhir mereka jejaki sebagai finalis 2019 sebelum tewas kepada Liverpool di Madrid.

Postecoglou percaya kemenangan mampu mengubah persepsi terhadap kelab yang disifatkannya sebagai ‘boleh membuat orang jadi gila’.

“Saya selalu menjuarai trofi pada musim kedua di setiap kelab yang saya latih,” kata jurulatih berusia 59 tahun itu, satu kenyataan yang kembali menghantuinya apabila Spurs tersingkir di separuh akhir Piala Liga dan bergelut dalam saingan EPL.

Bekas pengendali Celtic itu juga semakin lantang mempertahankan falsafah bola sepak menyerang yang menjadi DNA pasukannya menjaringkan 63 gol musim ini tetapi turut bolos 61 kali.

Selepas kemenangan dramatik 4-3 ke atas United dalam Piala Liga – selepas mendahului 3-0 Postecoglou menerima kritikan kerana pendekatan taktikalnya.

“Tak cukup hibur ke? Saya tahu studio (Sky Sports) mungkin pening kepala dengan pendekatan saya, tapi kami bukan jenis pasukan yang mahu menang 1-0 saja,” katanya sinis.

Kemenangan dalam perlawanan akhir ini mungkin menjadi penamat sempurna buat Postecoglou sama ada untuk meneruskan khidmatnya atau melangkah pergi sebagai wira.

Apa pun kesudahannya, penyokong Spurs masih menyokong beliau, dengan tumpuan kemarahan lebih banyak terarah kepada Pengerusi kelab, Daniel Levy.

“Secara peribadi, jika menang trofi ini saya boleh tersenyum bila dah tua nanti. Tapi yang lebih penting ialah apa yang kemenangan ini akan bawa kepada kelab,” kata Postecoglou kepada media.

“Kalau kita lihat sejarah 20 tahun terakhir, saya rasa inilah detik yang boleh jadi titik perubahan besar bagaimana kelab ini dilihat dan bagaimana ia melihat dirinya sendiri.”

Beliau turut menyindir bahawa gambar-gambar sejarah yang menghiasi stadium Tottenham kebanyakannya dalam warna hitam putih dan pasukannya kini ada peluang untuk menjadi sejarah berwarna dalam era moden kelab.

“Tempat ke-17 dan berada di final Liga Europa!” kata penjaga gol Guglielmo Vicario.

“Kami tahu prestasi dalam liga sangat mengecewakan. Tapi kini kami ada peluang cipta sejarah buat kelab ini.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top