Tottenham kekal berbisa, tumbangkan Manchester City sekali lagi

Tottenham kekal berbisa, tumbangkan Manchester City sekali lagi
Palhinha antara penjaring gol buat Tottenham ketika menentang Manchester City. Foto: Agensi

Palhinha antara penjaring gol buat Tottenham ketika menentang Manchester City. Foto: Agensi

TOTTENHAM Hotspur terus mempamerkan kebangkitan di bawah kendalian Thomas Frank apabila sekali lagi mengejutkan Manchester City di Stadium Etihad dengan kemenangan berganda 2-0.

Musim lalu, Spurs meranapkan City 4-0 di gelanggang sama, dan kali ini mereka pulang sekali lagi dengan tiga mata hasil disiplin pertahanan mantap serta serangan pantas mematikan pergerakan lawan.

Tuan rumah yang menang 4-0 ke atas Wolverhampton Wanderers, bermula garang apabila Omar Marmoush nyaris membuka jaringan menerusi beberapa percubaan awal, namun ketangkasan penjaga gol Spurs, Guglielmo Vicario, menafikan cubaan berbahaya termasuk rembatan jarak jauh penyerang Mesir itu.

Namun, Spurs yang menang 3-0 ke atas Burnley sebelum ini memecah kebuntuan dengan serangan balas kilat hantaran Richarlison disambar Brennan Johnson.

Gol itu pada awalnya dibatalkan kerana ofsaid tetapi disahkan semula selepas semakan video bantuan pengadil (VAR).

City terus ditimpa malang apabila kesilapan penjaga gol James Trafford memberi ruang buat Joao Palhinha meledak gol kedua Spurs, tujuh minit masa tambahan separuh masa pertama.

Kegugupan Trafford makin terserlah selepas hampir dilayangkan kad merah susulan terjahan di luar kotak penalti terhadap Mohammed Kudus.

Erling Haaland berpeluang merapatkan kedudukan tetapi tandukannya melambung tinggi sebelum rehat.

City cuba bangkit pada babak kedua namun buntu menembusi benteng kental Spurs yang kini merekodkan dua kemenangan bersih berturut-turut dalam liga.

Kejayaan ini hadir selepas minggu sukar buat Spurs yang gagal mendapatkan khidmat bintang Crystal Palace, Eberechi Eze, yang memilih seteru tradisi Arsenal.

Walaupun penyokong pelawat lantang melaungkan ‘Levy Keluar’ terhadap pengerusi kelab, Daniel Levy, kekecewaan itu akhirnya bertukar sorakan ‘Kami sayang kamu Tottenham,” sebaik wisel penamat.

Spurs kini mencatat tiga kemenangan dalam lima kunjungan terakhir ke Etihad, termasuk dua kemenangan berturut-turut musim ini.

Scroll to Top