Paris: Tour de France Wanita akan bermula dari Lausanne pada tahun 2026 dengan dua peringkat penuh di Switzerland, menurut pengumuman penganjur semalam.
Peringkat pertama sejauh 137 kilometer akan bermula dan berakhir di Lausanne pada 1 Ogos 2026, di tepi Tasik Geneva.
Peringkat kedua pula akan membawa peloton sejauh 150 kilometer dari Aigle, lokasi ibu pejabat Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) ke Geneva.
Geneva turut akan menjadi titik permulaan bagi peringkat ketiga, manakala lokasi penamat bagi peringkat tersebut akan diumumkan bersama baki laluan penuh pada Oktober nanti.
Ini adalah kali kedua perlumbaan bermula di luar Perancis sejak ia diperkenalkan semula pada 2022, selepas edisi tahun lalu bermula di Rotterdam, Belanda.
Britain pula diumumkan sebagai lokasi permulaan bagi kedua-dua edisi lelaki dan wanita pada 2027. Perlumbaan lelaki akan bermula di Edinburgh, namun bandar permulaan bagi perlumbaan wanita masih belum didedahkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd