sukan@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Biarpun berbaki tiga bulan lagi sebelum saingan Tour Gateh D’Tranung membuka tirainya pada Oktober ini, kehangatannya sudah mula dirasai.
Selain penyertaan pasukan terbaik Asia, Terengganu Cycling Team (TSG), sepuluh pasukan dari luar negara turut mengesahkan kehadiran untuk menyertai perlumbaan edisi keempat itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, kejohanan yang bakal bermula 25 Oktober hingga 3 November itu turut disertai 12 pasukan tempatan.
“Kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan RM216,000 itu menarik kehadiran 12 pasukan tempatan dan 14 pasukan dari luar negara menjadikan keseluruhan 24 pasukan.
“Indonesia paling banyak menghantar pasukan iaitu Jakarta Pro Cycling Team, ASC Monsters Indonesia dan Pasukan Kebangsaan Indonesia manakala Thailand dan Filipina masing-masing menghantar dua pasukan.
“Selain TSG selain MPC, pasukan negeri serta kelab tempatan akan turut memeriahkan siri jelajah ini,” katanya pada sidang media Tour Gateh D’Tranung di Wisma Darul Iman, petang ini yang turut dihadiri Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya.
Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, perlumbaan pada edisi ini akan melalui semua daerah di Terengganu yang bakal bermula di Kuala Nerus dan berakhir di Kuala Terengganu.
© New Straits Times Press (M) Bhd