am@hmetro.com.my
Alor Setar: Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard terjunam ke dalam sungai di jalan ban Telaga Bata, bersebelahan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini malam tadi.
Bagaimanapun pemandunya lelaki berusia 41 tahun terselamat dan hanya mengalami cedera ringan.
Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah dalam kenyataannya berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.01 malam.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Roslan Saad tiba di lokasi bersama enam anggota.
“PGO Kedah menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 memaklumkan kereta Toyota Alphard terbabas dan jatuh sungai.
“Anggota BBP Alor Setar berjaya mengeluarkan mangsa dan dibawa ke lokasi selamat untuk diberi rawatan awal.
“Mangsa hanya mengalami cedera ringan dan dihantar ke HSB dengan menaiki Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS). Operasi tamat pada jam 8.52 malam,” katanya.
Difahamkan, laluan itu kerap berlaku kemalangan sehingga menyebabkan kereta terjunam ke dalam sungai.
© New Straits Times Press (M) Bhd