KUALA LUMPUR – Malaysia menjadi lokasi pertama di Asia Pasifik bagi pelancaran teknologi Wi-Fi 8 oleh TP-Link, sekali gus memperkukuh asas ketersambungan digital negara seiring peningkatan penggunaan kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan peranti terhubung.
Naib Presiden TP-Link Asia-Pasifik, Brian Dong berkata, teknologi tanpa wayar tidak lagi seharusnya dinilai berdasarkan kelajuan semata-mata, sebaliknya kebolehpercayaan sambungan menjadi ukuran penting dalam menyokong operasi digital.
“Selama bertahun-tahun, teknologi tanpa wayar dipasarkan dengan memberi tumpuan kepada kelajuan. Namun, kelajuan sahaja tidak membawa makna sekiranya sambungan terputus di tengah-tengah mesyuarat atau aplikasi berasaskan awan tergendala ketika paling diperlukan,” katanya.

Malaysia menjadi lokasi pertama di Asia Pasifik bagi pelancaran teknologi Wi-Fi 8 oleh TP-Link,
Menurutnya, penggunaan AI dan sistem berasaskan awan yang semakin meluas dalam operasi harian organisasi di Malaysia menjadikan kebolehpercayaan rangkaian sebagai ukuran sebenar dalam menjayakan transformasi digital.
“Pelancaran ini mencerminkan komitmen TP-Link untuk menyediakan asas rangkaian yang kukuh kepada perniagaan dan isi rumah di Malaysia agar mereka dapat terus berkembang dan memanfaatkan teknologi digital dengan yakin,” jelas beliau.
TP-Link Malaysia secara rasmi melancarkan Wi-Fi 8 pada TP-Link APAC B2B Summit 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini, dengan tema Together We Connect the Future.
Pada sidang kemuncak itu, syarikat berkenaan turut mempamerkan penghala Archer 8 Ultra dan sistem Wi-Fi mesh Deco 8 Ultra, selain memberi gambaran awal mengenai platform Omada Wi-Fi 8 yang bakal diperkenalkan untuk segmen rangkaian perniagaan.

Pelancaran teknologi Wi-Fi 8 oleh TP-Link perkukuh asas ketersambungan digital negara.
Dibangunkan berasaskan piawaian IEEE 802.11bn yang bakal diperkenalkan, Wi-Fi 8 dikuasakan teknologi Wi-Fi 8 StabilityEngine TP-Link yang direka untuk meningkatkan liputan, mengurus kesesakan rangkaian serta mengurangkan gangguan isyarat.
Teknologi itu membolehkan sambungan kekal stabil walaupun semakin banyak peranti bersaing untuk menggunakan rangkaian yang sama.
Pengenalan Wi-Fi 8 itu selari dengan perkembangan pesat ekonomi digital Malaysia menerusi Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 (MD2030) yang menyasarkan ekonomi digital menyumbang 30 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta mewujudkan 500,000 pekerjaan digital bernilai tinggi menjelang penghujung dekad ini.
Sementara itu, subsektor maklumat dan komunikasi mencatatkan RM152.9 bilion dalam pelaburan yang diluluskan pada 2025, dipacu terutamanya oleh AI, pusat data dan pengkomputeran awan.
Dalam landskap berkenaan, sambungan Wi-Fi yang tidak stabil bukan lagi sekadar kesulitan kecil kerana ia boleh mengganggu persidangan video, memperlahankan akses kepada sistem berasaskan awan serta menjejaskan produktiviti dan pengalaman pelanggan organisasi.
Setelah tersedia secara komersial, Wi-Fi 8 dijangka menyediakan liputan lebih konsisten di premis berskala besar, sesak atau bertingkat, selain memperkukuh sambungan peranti yang terletak lebih jauh daripada titik akses dan meningkatkan prestasi ketika trafik rangkaian memuncak.
Keupayaan itu berpotensi menyokong persidangan video lebih lancar di pejabat dan kampus universiti, mengurangkan gangguan perkhidmatan di hotel serta premis peruncitan, meningkatkan kebolehpercayaan sambungan di hospital dan memastikan prestasi lebih stabil di kilang seiring peningkatan penggunaan teknologi Industri 4.0.
Manfaat sama turut dijangka dinikmati isi rumah yang menghubungkan pelbagai telefon pintar, televisyen pintar dan peranti rumah pintar kepada satu rangkaian.
Selain Wi-Fi 8, TP-Link turut memperluas penawaran dalam pengurusan rangkaian dan pengawasan bersepadu menerusi Fusion Pro Series baharu yang mengintegrasikan infrastruktur rangkaian dan keselamatan dalam satu platform untuk kegunaan perniagaan.
Dalam usaha memperkukuh penggunaan AI, syarikat itu turut mengumumkan rancangan menubuhkan Omada-VIGI AI Application Developer Alliance yang menghimpunkan syarikat AI, pembangun bebas serta rakan teknologi bagi mengintegrasikan teknologi rangkaian dan pengawasan TP-Link dengan aplikasi AI.
Inisiatif itu menyasarkan pembangunan penyelesaian berasaskan AI dalam pelbagai persekitaran termasuk bilik darjah pintar, ruang peruncitan, kilang dan premis hospitaliti.
Pada masa sama, TP-Link memperkukuh pembangunan bakat tempatan menerusi memorandum persefahaman (MoU) dengan tiga universiti di Malaysia bagi memperkenalkan kursus rangkaian Omada serta latihan praktikal.
Langkah itu bertujuan membina keupayaan teknikal yang diperlukan bagi menyokong persekitaran yang semakin terhubung dan dipacu AI.
“Aspirasi digital Malaysia memerlukan ketersambungan yang lancar dan konsisten, pada setiap masa dan di mana sahaja,” kata Brian.
Beliau berkata, TP-Link komited untuk terus bekerjasama dengan rakan tempatan, perniagaan dan pihak berkepentingan industri bagi memperkukuh kesediaan teknikal serta memperluas ekosistem Wi-Fi 8.
“Dengan ini, lebih banyak organisasi dan isi rumah di Malaysia dapat menikmati ketersambungan generasi akan datang yang boleh dipercayai, seiring dengan keperluan digital mereka yang semakin berkembang,” katanya.
