TPM ikut orang muda konvoi Merdeka di Jelebu

TPM ikut orang muda konvoi Merdeka di Jelebu

am@hmetro.com.my

Jelebu: Zahirkan semangat Merdeka dengan menyertai konvoi disertai 270 motosikal dan serta 400 belia dari seluruh Negeri Sembilan.

Itu antara pendekatan dilakukan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang `turun padang’ menyertai konvoi dengan menunggang motosikal dari Dataran Majlis Daerah Jempol hingga Perhentian Bas Simpang Pertang di sini, tadi.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru seluruh rakyat untuk mengetepikan segala perbezaan politik, agama, bangsa dan budaya sekali gus memperkukuh semangat perpaduan, terutama dalam menyambut Hari Kebangsaan.

“Semua pihak, terutama golongan muda perlu diberi ruang untuk menzahirkan semangat patriotik mengikut cita rasa mereka melalui pelbagai pendekatan.

“Ini termasuk menyertai aktiviti konvoi bermotosikal bagi meraikan kosambutan itu, sekali gus memperkukuh jalinan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

“Di mana bumi dipijak, di situ langit kita junjung. Untuk orang muda, kita kena tahu cita rasa mereka yang merupakan pendukung pada generasi yang kita bina akan datang. Cita rasa mereka juga berbeza dengan cita rasa orang lama.

“Jadi, kita harus memahami keperluan mereka dan bersama-sama meraikannya,” katanya selepas menghadiri Program Kembara Merdeka Akar Umbi Negeri Sembilan yang turut dihadiri Exco Kanan negeri Datuk Seri Jalaluddin Alias di sini, semalam.

Sementara itu, Jalaluddin berkata. program ini ialah kembara antara wakil rakyat dengan pemimpin pada peringkat akar umbi bersama dengan rakyat daripada pelbagai kaum dan latar belakang bagi menyambut Hari Kebangsaan ke-68.

“Kita tidak mempunyai sebarang perbezaan dan yang penting ialah semangat untuk menyambut hari kemerdekaan ini harus ditanam dan dijiwai oleh setiap individu dan masyarakat di dalam negara kita termasuk Negeri Sembilan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top