Pelakon jelita, Tracie Sinidol, 23, mengakui terkejut apabila ramai yang menyamakan penampilan gaya rambutnya bersama penyanyi terkenal Korea, Lisa daripada kumpulan Blackpink.
Selebriti kelahiran Sabah ini menjelaskan dia mengubah gaya rambutnya kepada potongan ‘bangs’ demi watak dalam filem terbaharunya bersama aktor, Syafiq Kyle.
“Bila orang cakap sama, saya pun terkejut. Sebenarnya, ini kali pertama saya buat gaya rambut potongan ‘bangs’ sebab terlibat dalam penggambaran filem baru.
“Kalau bukan untuk watak, saya tak akan tukar gaya seperti ini sebab susah nak uruskan, kena sentiasa nampak kemas,” katanya.
Tracie berkata demikian ketika ditemui media pada malam Finale drama lakonannya, Hilang Dalam Rindu di Arina Skyview, Kuala Lumpur pada Rabu.
Mengulas lebih lanjut, Tracie bagaimanapun memandang komen netizen tersebut sebagai satu perkara yang positif.
“Ingatkan satu dua komen saja, tapi tengok balik rupanya ramai yang cakap saya macam Lisa Blackpink.
“Jauh betul kalau penampilan saya ini nak disamakan dengan Lisa. Saya biasa-biasa saja, tetapi saya pandang perkara itu dari sisi positif,” katanya.
Artikel Berkaitan: Tracie Sinidol Tampil Dengan Gaya Rambut Baharu, Wajah Disamakan Dengan Lisa Blackpink!
Dalam pada itu, drama rantaian Hilang Dalam Rindu lakonan Tracie bersama aktor meningkat naik, Jazmy Juma meraih sambutan hangat dalam peminat mereka.
Gandingan mereka bukan sahaja mempunyai tanda pagar #JaCieEffects, malah turut mendapat perhatian daripada negara Indonesia, dan Filipina.
Pada acara tayangan episod akhir Hilang Dalam Rindu yang diraikan bersama peminat itu turut dihadiri oleh barisan pelakon lain iaitu Jazmy Juma, Zariff Ghazzi, Qistina Rainda, Sera Melissa, Nina Smith dan Aizat Saha.
Dengan pengakhiran penuh emosi ini, Hilang Dalam Rindu bukan sahaja menutup kisah cinta Eijaz dan Aira, tetapi juga menjadi hadiah paling indah buat peminat yang setia mengikuti setiap episod.




