Tradisi imam muda Surau al-Kauthar, 10 penuntut UKM jadi imam sukarela demi jaga hafazan

Tradisi imam muda Surau al-Kauthar, 10 penuntut UKM jadi imam sukarela demi jaga hafazan

lokman.khairi@hmetro.com.my

Bangi: Ingin menjaga hafazan al-Quran mendorong 10 penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini berkhidmat sebagai imam di Surau al-Kauthar, Seksyen 4 di sini secara sukarela.

Mereka bukanlah dilantik semata-mata untuk memimpin solat tarawih pada Ramadan, tetapi turut mengimamkan solat lima waktu sepanjang tempoh pengajian selama empat tahun sehingga bergraduasi.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah dan Kepimpinan) UKM, Muhammad Hazim Hazman, 22, berkata kesemua imam muda di surau berkenaan berusia antara 21 hingga 26 tahun dan terdiri daripada penuntut pelbagai jurusan dalam bidang Pengajian Islam.

Menurutnya, tradisi imam muda di surau berkenaan sudah lama wujud dan kini memasuki kohort kelapan.

“Setiap tahun biasanya tiga hingga empat pelajar baharu UKM akan menyertai kumpulan imam di sini bagi menggantikan mereka yang sudah tamat pengajian.

“Kebanyakan pelajar datang sendiri menawarkan diri untuk berkhidmat dan kami juga akan mencari pelapis yang berpotensi bagi memastikan kesinambungan program ini.

“Rata-rata kami lepasan tahfiz jadi salah satu cara memelihara hafalan al-Quran adalah dengan menjadi imam,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, pihak surau turut menyediakan kemudahan bilik penginapan di dalam kawasan surau kepada semua imam muda bagi memudahkan mereka menjalankan tanggungjawab.

Katanya, selain memimpin solat, mereka turut membantu menguruskan pelbagai aktiviti kemasyarakatan termasuk penyediaan hidangan sekitar 500 hingga 700 pek makanan untuk jemaah berbuka puasa sepanjang Ramadan.

“Kami juga dilatih untuk menyampaikan tazkirah serta kuliah ringkas kepada jemaah sebagai persediaan menjadi pemimpin masyarakat pada masa depan.

“Setiap pagi selepas solat Subuh, imam muda akan membaca serta menghuraikan tafsir al-Quran kepada jemaah yang hadir.

“Latihan ini banyak membantu kami membina keyakinan diri selain mempraktikkan ilmu yang dipelajari di kampus,” katanya.

Katanya, walaupun kesemua imam masih bergelar pelajar, tanggungjawab mereka tidak menjejaskan jadual kuliah kerana sistem penggiliran dilaksanakan.

“Disebabkan kami ada 10 imam, tugas memimpin solat lima waktu dibuat secara bergilir.

“Bagi solat tarawih pula, dua imam akan bertugas setiap malam dengan seorang memimpin empat rakaat pertama manakala seorang lagi menyambung empat rakaat terakhir dan solat witir.

“Alhamdulillah, pihak pengurusan surau juga memberi kepercayaan kepada kami untuk membantu mengendalikan pelbagai program melibatkan masyarakat,” katanya.

Menurutnya, pengalaman berkhidmat di surau juga memberi peluang kepada pelajar mempelajari kepimpinan, komunikasi serta pengurusan organisasi yang sukar diperoleh di bilik kuliah.

“Ramai alumni imam muda Surau al-Kauthar kini berjaya dalam kerjaya masing-masing termasuk menjadi pensyarah, pegawai agensi agama serta guru.

“Mungkin salah satu asbabnya apabila kita menjaga rumah Allah, Allah juga menjaga rezeki kita,” katanya.

Beliau turut mengajak golongan muda untuk mendekati masjid dan surau dengan menyertai aktiviti yang dianjurkan bagi memupuk kecintaan terhadap institusi berkenaan.

“Kalau boleh, golongan muda dekatkan diri dengan surau dan masjid kerana di situlah kita boleh belajar banyak perkara serta memperbaiki diri.

“Tidak semestinya menjadi imam, tetapi sekurang-kurangnya hadir dan terlibat dalam program yang dianjurkan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top