Trafik di Gua Musang sesak, pemandu disaran berhati-hati

Trafik di Gua Musang sesak, pemandu disaran berhati-hati

am@hmetro.com.my

Gua Musang: Daerah ini yang menjadi salah satu pintu masuk sempadan negeri menyaksikan kesesakan luar biasa di beberapa laluan utama, apabila kenderaan perantau mula memenuhi jalan raya untuk pulang ke destinasi masing-masing selepas cuti Hari Natal berakhir.

Tinjauan mendapati Jalan Gua Musang-Kuala Krai; Jalan Gua Musang-Kuala Lipis dan Jalan Gua Musang-Jeli menghala ke Kuala Lumpur mengalami kesesakan sejak 5 petang.

Seorang pengguna jalan raya, Nur Shakira Sulaiman, 34, berkata, dia mengambil masa lebih dua jam untuk pulang ke rumah yang berjarak tujuh kilometer dari tempat kerja disebabkan trafik pada di Jalan Gua Musang-Jeli menghala ke Kuala Lipis.

“Biasanya perjalanan untuk pulang ke rumah saya dari tempat kerja hanya 10 minit sahaja. Namun hari ini mengambil masa sehingga dua jam setengah.

“Saya keluar dari pejabat kira-kira 6 petang tadi dan hanya tiba di rumah di Taman Saujana Harmoni pada 8.30 malam.. saya rasakan kesesakannya luar biasa,” katanya.

Mohd Haikal, 30, pula berkata, kenderaan bergerak perlahan dari Bandar Utama Gua Musang dan trafik semakin buruk selepas Persimpangan Bendahara di Jalan Gua Musang-Kuala Lipis.

Katanya, kenderaan di semua laluan keluar daerah ini bergerak sangat perlahan dengan jumlah kenderaan semakin bertambah.

“Saya difahamkan sempadan daerah Gua Musang dan Merapoh, Pahang menghala ke Kuala Lumpur juga sesak… boleh dianggarkan jarak kesesakannya lebih 20 kilometer.

“Nasihat saya kepada mereka yang akan bergerak pulang ke Kuala Lumpur untuk sentiasa berhati-hati dan mendapatkan rehat yang cukup,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top