lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama keluar dari ibu negara dilaporkan meningkat namun terkawal, berikutan cuti panjang sempena perayaan Tahun Baharu Cina dan sambutan awal Ramadan.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi kemas kini di media sosial setakat 9.55 pagi melaporkan aliran trafik di semua lebuh raya bertol dilihat mulai bertambah terutama di lebuh raya di sekitar Lembah Klang.
Di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), trafik dilaporkan perlahan dari Sungkai ke Slim River, kesan lori terbakar di KM 356.0 arah Selatan, selain di Sungai Buloh ke Bukit Lanjan, Pagoh ke Yong Peng Utara kesan kemalangan di KM 105.3 arah Selatan dan Sedenak ke Kulai serta Dato Onn ke Persimpangan Pasir Gudang.
Di PLUS arah Utara pula, trafik perlahan dari Plaza Tol Sungai Besi ke pusat bandar dan Southville City ke Kajang.
Sementara itu di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), trafik turut perlahan arah Selatan dari Bukit Lanjan ke Damansara dan Bukit Lanjan ke Plaza Tol Jalan Duta, manakala arah Utara pula pertambahan kenderaan membabitkan Setia Alam ke Shah Alam.
Di Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), trafik dilaporkan perlahan dari Plaza Tol Damansara ke Damansara Utama; Mont Kiara ke Pusat Sains Negara; Penchala ke TTDI Utara dan Terowong Penchala ke susur keluar Mont Kiara.
Di Jambatan Pulau Pinang, trafik perlahan dari Perai ke pertengahan Jambatan Pulau Pinang.
Dalam pada itu, tiada sebarang kesesakan dilaporkan setakat ini di jajaran lebuh raya menghala ke Pantai Timur.
Terdahulu, PLUS menerusi kenyataan memaklumkan jangkaan peningkatan ketara jumlah trafik di beberapa lebuh raya utama, termasuk Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang bersambung dengan permulaan Ramadan.
PLUS dilapor berkata, jumlah trafik dijangka mencecah sehingga 2.2 juta kenderaan sehari ketika tempoh perjalanan puncak, khususnya pada 12, 13 dan 14 Februari bagi perjalanan keluar dari Lembah Klang, serta pada 20 dan 21 Februari bagi perjalanan pulang ke Lembah Klang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




