'Trafik KL macam biasa sahaja walau ada Sidang Kemuncak Asean'

'Trafik KL macam biasa sahaja walau ada Sidang Kemuncak Asean'

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Trafik di sekitar ibu negara lancar dan terkawal meskipun terdapat penutupan jalan sementara dan lencongan laluan sempena Sidang Kemuncak Asean Ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.

Tinjauan Harian Metro seawal 7 pagi di beberapa laluan utama mendapati pergerakan masuk trafik menghala ke ibu negara perlahan pada waktu puncak seperti hari kebiasaan.

Menjelang lewat pagi, kesesakan trafik semakin kurang, berkemungkinan didorong oleh ramai pekerja yang bekerja dari rumah atau menggunakan pengangkutan awam..

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dilapor berkata, penutupan dan lencongan akan dijalankan pada 8 pagi dan 5.30 petang sepanjang sidang kemuncak bagi memberi laluan kepada pergerakan delegasi asing.

Ketika meninjau sekitar Jalan P Ramlee, Jalan Sultan Ismail, Jalan Perak, Jalan Pinang dan Persiaran KLCC, didapati penutupan jalan dan lencongan hanya dilakukan kira-kira lima ke 10 minit sahaja bagi memberi laluan kepada motoked delegasi terbabit.

Laluan akan dibuka semula sejurus konvoi melepasi kawasan berkenaan.

Pekerja swasta, Hazrin Mazalan, 32, berkata, keadaan trafik sepanjang sidang Asean tidak banyak beza seperti hari-hari lain dan merasakan penutupan laluan berkenaan setakat ini tidak mengganggu urusan hariannya.

“Sama sajalah saya tengok, KL (Kuala Lumpur) ini traffic jam (sesak) macam biasa juga, lagipun jalan tutup sekejap sahaja, tak macam semasa Presiden China datang kelmarin.

“Jadi bagi saya tak ada masalah, mula-mula risau juga bila baca orang ramai komen pasal jalan jam (sesak), tetapi hari mula kerja tengok macam biasa saja,” katanya.

Turut sependapat, Muhamad Shahrifudin Abdul Sharif, 31, yang menyifatkan penutupan jalan berkenaan setakat ini tidak menimbulkan sebarang masalah besar kepada dirinya.

Penunggang e-hailing, Muhammad Akid Kamarul Akmam, 22, pula berkata, keadaan lalu lintas terkawal walaupun terdapat jalan ditutup.

“Tadi saya guna jalan Sungai Besi ke pusat bandar untuk menghantar pesanan makanan, memang betul ada jalan ditutup tetapi kemudian dibuka semula.

“Ketika berbual dengan rakan-rakan rider yang lain pun mereka kata penutupan jalan ni hanya sementara sahaja, lebih kurang 10 minit,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top