Trafik menghala Pantai Timur, Utara sesak

Trafik menghala Pantai Timur, Utara sesak

harisfadli@hmetro.com.my

Bentong: Aliran trafik dari ibu kota menuju Pantai Timur melalui Lebuhraya Kuala Lumpur- Karak (KLK) mulai ‘melekat’ setakat 4.30 petang hari ini.

Tinjauan Harian Metro bermula 3.30 petang di Plaza Tol Gombak sehingga Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Genting Sempah mendapati aliran trafik perlahan dan sesak di beberapa lokasi terutama di kawasan mendaki.

Keadaan jalan yang sedikit basah juga mendorong kesesakan dianggarkan sepanjang sembilan kilometer bermula dari stesen minyak BHP KL-Karak sehingga RnR Genting Sempah.

Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melaporkan aliran trafik perlahan di Lebuhraya Utara Selatan arah Utara bermula dari Bukit Lanjan ke Rawang Selatan, Sungai Buaya ke Bukit Beruntung, Bukit Tagar ke Lembah Beringin dan Juru ke Perai.

Pada masa sama, pemerhatian melalui laman web sistem kamera litar tertutup LLM mendapati beberapa laluan dari ibu negara menuju ke Barat dan Selatan juga mulai sesak setakat 4.30 petang.

Terdahulu Harian Metro melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpukan kepada aspek kelancaran aliran trafik sempena Aidiladha menerusi Op Lancar yang berkuat kuasa bermula hari ini hingga 9 Jun.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, seramai 1,858 pegawai dan anggota ditugaskan di lokasi panas (hotspot) seluruh negara.

Sebelum itu, jurucakap Plus dilapor berkata, trafik dijangka sesak mulai malam hari ini susulan pergerakan orang ramai untuk ke destinasi masing-masing sempena cuti Hari Raya Aidiladha.

Orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan dan mendapatkan maklumat trafik terkini melalui saluran rasmi seperti laman sesawang LLM, Twitter @llmtrafik, atau talian bebas tol 1-800-88-7752.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top