lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama keluar ibu kota bergerak perlahan petang ini, selain hujan di beberapa lokasi.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi kemaskini di media sosial setakat 2.31 petang memaklumkan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), trafik perlahan arah Utara dari Slim River ke Sungkai susulan kemalangan di KM358.3 yang menyebabkan lorong kecemasan terhalang, selain di Senai ke Kulai.
Di PLUS arah Selatan pula, trafik perlahan dari Gopeng ke Tapah, Plaza Tol Sungai Besi ke Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Kajang ke Bangi.
Sementara itu, di Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), trafik turut perlahan arah Putrajaya ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).
Di Lebuhraya Hubungan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA), trafik bergerak perlahan dari Tuas ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sultan Abu Bakar, Johor Bahru.
Di Tambak Johor, berlaku pertambahan kenderaan dari Woodlands ke Johor Bahru.
Berdasarkan kemas kini di laman web LLM pula, berlaku pertambahan kenderaan dari arah Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) ke Tol Gombak menghala Pantai Timur.
Terdahulu, PLUS menerusi kenyataan memaklumkan jangkaan peningkatan ketara jumlah trafik di beberapa lebuh raya utama, termasuk Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang bersambung dengan permulaan Ramadan.
PLUS dilapor berkata, jumlah trafik dijangka mencecah sehingga 2.2 juta kenderaan sehari ketika tempoh perjalanan puncak, khususnya pada 12, 13 dan 14 Februari bagi perjalanan keluar dari Lembah Klang, serta pada 20 dan 21 Februari bagi perjalanan pulang ke Lembah Klang.
© New Straits Times Press (M) Bhd



