Tragedi 5 sekeluarga: Tengku Mahkota Pahang ziarah waris, kurnia sumbangan

Tragedi 5 sekeluarga: Tengku Mahkota Pahang ziarah waris, kurnia sumbangan

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini berkenan menziarahi waris lima sekeluarga yang maut dalam kejadian menyayat hati di Taman Cerating Damai, Kuantan, kelmarin.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi Kesultanan Pahang, Tengku Hassanal menyantuni serta mengurniakan sumbangan kepada waris keluarga berkenaan.

“Baginda berharap semoga keluarga yang ditinggalkan tabah menghadapi dugaan ini,” menurut kenyataan rasmi tersebut.

Tengku Mahkota Pahang ziarah waris lima sekeluarga terbunuh

Turut mengiringi baginda ialah Pegawai Daerah Kuantan, Datuk Sharudin Jali, dan Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah. Kehadiran Tengku Mahkota Pahang disambut dengan suasana pilu oleh ahli keluarga dan jiran terdekat.

Semalam, suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Kampung Budaya Cherating apabila jenazah lima sekeluarga yang ditemukan maut itu selamat dikebumikan.

Artikel lain: Sultan Pahang zahir dukacita tragedi 5 sekeluarga, nasihat rakyat awasi perubahan tingkah laku

Tuan Kamaria Tuan Puteh, 56, dikebumikan bersama menantunya, Nurul Asshiykin Kamarulzaman, 33, serta dua cucunya, Nur Sumayyah Humairah dan Nur Saffiyah Humairah, masing-masing berusia dua dan lima tahun, dalam satu liang lahad.

Suspek berusia 32 tahun pula dikebumikan secara berasingan kira-kira beberapa meter dari kubur berkenaan dalam kawasan tanah perkuburan sama.

Kelmarin, suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dipercayai membunuh ahli keluarganya sebelum ditemui meninggal dunia di rumah setingkat mereka di Taman Cerating Damai kira-kira jam 7 pagi.

Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menikam isterinya terlebih dahulu, diikuti ibunya dan kemudian dua anak perempuannya sebelum ditemui meninggal dunia di lokasi sama.

Polis turut menemui senjata dipercayai digunakan dalam kejadian itu di lokasi kejadian.

Sumber: FB Kesultanan Pahang

Scroll to Top