Pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan tragis sehingga mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) didapati mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau, termasuk kes berkaitan dadah.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, lelaki berusia 45 tahun itu mempunyai enam rekod jenayah, kebanyakannya melibatkan kesalahan dadah.
“Dia mempunyai enam rekod jenayah lampau, terutamanya berkaitan dadah,” katanya kepada pemberita.
Tambahnya, hasil ujian air kencing awal mendapati keputusan negatif, namun siasatan lanjut masih dijalankan.
Manakala, pemandu itu juga dipercayai mempunyai beberapa saman trafik tertunggak dan kini berada dalam tahanan polis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian.
Kronologi Kejadian

Kemalangan maut yang berlaku awal pagi tadi selepas konvoi tujuh kenderaan Unit 5 FRU dalam perjalanan pulang dari tugasan kawalan awam di Teluk Intan ke pangkalan mereka di Sungai Senam, Ipoh.
Kemudian sebuah lori dilaporkan tiba-tiba merempuh salah satu trak yang membawa anggota FRU.
Lapan anggota maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.
Dan, tiga lagi mangsa dilaporkan dalam keadaan kritikal.
Polis Beri Penghormatan Penuh

Datuk Noor Hisam menyifatkan insiden ini sebagai kehilangan besar buat FRU dan seluruh pasukan polis.
“Kami memastikan semua proses bedah siasat, pemberitahuan kepada keluarga dan urusan pengebumian diuruskan dengan penuh hormat,” jelasnya.
Menurutnya, lapan daripada sembilan anggota yang terkorban adalah anak jati Perak, manakala seorang berasal dari Kedah.
Tujuh lagi anggota FRU adalah beragama Islam dan dua lagi bukan Muslim.
“Upacara pengebumian akan dilaksanakan mengikut agama masing-masing, dengan penghormatan penuh dari pihak polis,” ujarnya.
Ikut Prosedur & SOP FRU

Mengulas mengenai penugasan FRU di Teluk Intan, Noor Hisam memaklumkan semua tugasan dilakukan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) FRU.
“Tugasan seperti ini lazimnya mengambil masa tiga hari dimana satu hari perjalanan ke lokasi, satu hari bertugas, dan satu hari untuk pulang,” tambahnya.
Katanya lagi, dalam konvoi tersebut terdapat tujuh kenderaan termasuk sebuah lori, empat trak berat dan dua Land Rover. Kenderaan yang terlibat dalam perlanggaran itu adalah trak kelima dalam barisan, yang membawa peralatan.
“Disebabkan itu impaknya besar dan menyebabkan banyak kematian,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, proses bedah siasat sembilan mayat anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang maut dalam kemalangan ngeri dengan sebuah lori muatan batu di Jalan Chikus ke Sungai Lampam pada Selasa dijangka selesai seawalnya 8 malam ini.
Sumber: Harian Metro




