Tragedi bah kuning: Lihat sendiri rumah, surau dihanyut arus deras

Tragedi bah kuning: Lihat sendiri rumah, surau dihanyut arus deras

am@hmetro.com.my

Kuala Krai: Meskipun sudah 10 tahun berlalu, namun tragedi bah kuning yang berlaku sehingga menyebabkan lebih 7,000 penduduk di Kuala Krai terjejas selain kehilangan harta benda masih segar dalam ingatan.

Menyingkap peristiwa bah kuning berkenaan, Che Norhayati Mohamed, 58, berkata, gelombang kedua yang berlaku pada 27 Disember 2014 menyebabkan paras air meningkat secara mendadak dan ramai penduduk yang terkepung berikutan jalan keluar sudah dipenuhi air.

Katanya, mereka sekeluarga bersama dengan 29 penduduk di sekitar Kampung Dusun Nyiur berlindung di sebuah surau kerana tidak sempat melarikan diri ke kawasan yang lebih tinggi.

“Bagaimanapun, lebih kurang pada jam 3 pagi, air naik secara mendadak sehingga hampir ke lantai surau dan demi keselamatan, kami berjalan dan anak-anak kecil dipunggah dengan perahu untuk dibawa ke dalam rumah yang sedang dalam pembinaan,” katanya.

Namun katanya, rumah itu juga tidak selamat disebabkan paras air semakin tinggi dan hampir merobohkan tempat mereka berlindung.

“Hari semakin gelap dan pada waktu itu hanya doa yang menjadi ‘senjata utama’ supaya anak-anak kecil, warga emas yang uzur dan wanita sarat mengandung dapat diselamatkan.

“Bagi orang dewasa mungkin mereka masih boleh terjun atau berpegang di mana-mana pokok sekiranya rumah itu hanyut, keyakinan kami pada ketika itu hampir tipis kerana arus air yang terlalu deras,” katanya.

Che Norhayati berkata, dalam keadaan yang kelam kabut, dia cuba menghubungi penduduk kampung yang memiliki bot untuk menyelamatkan mereka, namun pemandu bot tidak berani disebabkan keadaan gelap selain arus sungai deras.

“Keadaan pada ketika itu seperti lautan dan dalam hati kami hanya Allah SWT sahaja yang tahu bagaimana perasaan takut berhadapan situasi getir.

“Alhamdulillah esoknya ada penduduk bersama pasukan penyelamat datang membantu. Semasa dalam perjalanan untuk ke pusat pemindahan sementara (PPS), saya dapat melihat rumah kami dihanyutkan arus deras termasuk surau yang menjadi tempat untuk berlindung.

“Lebih menyedihkan lagi, salah seorang warga emas yang ada bersama dengan kami meninggal dunia disebabkan penyakit paru-paru berair,” katanya.

Katanya, dia tidak akan pernah melupakan kejadian bah kuning yang berlaku pada tahun 2014 sehingga menyebabkan rumah rakit yang dihuni mereka sekeluarga hanyut dibawa arus banjir.

Sebelum ini tular di media sosial gambar tugu peringatan banjir yang mencatatkan tahun dan bacaan paras air di Kuala Krai.

Tugu Peringatan Banjir Kuala Krai di bandar Kuala Krai menjadi struktur untuk mengenang kembali peristiwa duka penduduk daerah itu ketika bah kuning 2014.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top