Tragedi balik raya, ibu dan bayi 6 bulan maut kereta terbabas

Tragedi balik raya, ibu dan bayi 6 bulan maut kereta terbabas

am@hmetro.com.my

Beluran: Wanita dan bayi lelakinya maut selepas kereta dinaiki terbabas dalam kejadian berhampiran Klinik Kesihatan Telupid, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan dari Labuan untuk balik berhari raya di Semporna.

Difahamkan, kemalangan membabitkan kereta Proton Saga FLX itu mengorbankan bayi lelaki berusia enam bulan dan ibunya yang belum disahkan identiti manakala lima lagi cedera ringan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 6.28 pagi.

Katanya, seramai enam anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 100 kilometer dari BBP Beluran untuk membantu.

“Terdapat tujuh mangsa terbabit iaitu empat dewasa, dua kanak-kanak dan seorang bayi.

“Enam mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke hospital sebelum pasukan bomba tiba di lokasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, seorang lagi mangsa tersepi dikeluarkan oleh pasukan bomba dan dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Dua daripadanya disahkan meninggal dunia termasuk bayi manakala lima lagi mangsa cedera ringan.

“Maklumat semua mangsa tidak diperoleh,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top