Tragedi bas bawa pelajar UPSI: Terengganu akan segera bantu waris

Tragedi bas bawa pelajar UPSI: Terengganu akan segera bantu waris

zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan segera kepada waris mangsa kemalangan bas membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Gerik-Jeli berdekatan Tasik Banding, Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Terengganu Datuk Satiful Bahri Mamat berkata, ia termasuk bantuan kebajikan dan khidmat kaunseling serta sokongan psikososial kepada keluarga dan rakan mangsa.

“Saya mengarahkan jabatan serta agensi berkaitan untuk menyelaras segala urusan dengan pihak universiti, hospital serta kerajaan Persekutuan bagi memastikan setiap mangsa dan waris menerima bantuan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Tambah Satiful Bahri, beliau mewakili kerajaan negeri dan seluruh warga Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan merakamkan ucapan takziah dan rasa dukacita kepada semua keluarga mangsa tragedi itu.

“Tragedi ini menyayat hati kita semua. Bas yang membawa pelajar dari Jerteh ke UPSI itu dilaporkan mengalami kemalangan yang turut melibatkan kenderaan lain.

“Maklumat awal menyatakan seramai 42 pelajar menaiki bas tersebut manakala empat orang awam terlibat dalam kenderaan berasingan. Mangsa lain kini dirawat di hospital dalam pelbagai tahap kecederaan,” katanya.

Menurut Satiful Bahri lagi, difahamkan majoriti pelajar yang menaiki bas adalah anak Terengganu yang pulang ke kampus selepas bercuti sempena Hari Raya Aidiladha.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top