am@hmetro.com.my
Nabawan: Keseronokan melakukan aktiviti ‘water rafting’ berakhir tragedi apabila seorang lelaki meninggal dunia selepas lemas akibat terjatuh ke dalam sungai di kawasan Kabulongou Earth, Sepulut, di sini, hari ini.
Dalam kejadian itu, mangsa Ramli Mayakin, 40-an, dipercayai terjatuh ke dalam sungai sebelum dibawa arus deras.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nabawan, Rudy Mekii berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.40 tengah hari sebelum sepasukan 12 anggota digerakkan ke lokasi sejauh kira-kira 53 kilometer.
Menurutnya, operasi menghadapi kesukaran apabila laluan ke lokasi kejadian sempit serta tidak berturap, menyebabkan jentera hanya tiba di lokasi kira-kira jam 2.45 petang.
“Mangsa kemudiannya ditemui oleh orang awam di tepi sungai dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum pasukan bomba bertindak mengeluarkannya dari sungai.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.30 petang.
Operasi menyelamat turut membabitkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan KKM.
© New Straits Times Press (M) Bhd




