Tragedi berakit: Tiga mangsa lemas adalah kakitangan JKR

Tragedi berakit: Tiga mangsa lemas adalah kakitangan JKR

am@hmetro.com.my

Kampar: Identiti tiga mangsa yang lemas ketika semasa melakukan aktiviti berakit air (water rafting) di Sungai Kampar, dekat Gopeng, hari ini dikenal pasti sebagai kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Dua mangsa lelaki ialah Mohamad Khairul Hakim Hamidi, 37, dan Muhammad Ikram Abdul Bari, 29, yang bertugas di JKR Langkawi, manakala mangsa wanita iaitu Suhaili Mat Saad, 47, berkhidmat di JKR Seberang Perai Tengah.

Identiti ketiga-tiga mangsa itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud ketika dihubungi malam ini

“Mangsa wanita berasal dari Kampung Teluk Sungai Kecil, Nibong Tebal, Pulau Pinang.

“Mohamad Khairul Hakim berasal dari Ayer Hangat, Langkawi manakala Muhammad Ikram berasal dari Taman Permata, Jitra, Kedah,” katanya.

Tinjauan di Hospital Kampar mendapati mayat semua mangsa tiba di Unit Forensik jam 9.55 malam dengan dibawa kenderaan polis.

Terdahulu, media melaporkan mangsa adalah antara 22 peserta yang menyertai aktiviti ‘water rafting’ di Sungai Kampar, dekat Gopeng pada program bina semangat (team building) yang diiringi enam pemandu pelancong.

Difahamkan, kesemua peserta turun ke kawasan sungai bermula jam 3.30 petang untuk menyusuri sungai sejauh enam kilometer (km).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top