Sydney: Beberapa individu berani berlari ke Pantai Bondi ketika insiden tembakan beramai-ramai pada Ahad, untuk menyelamatkan kanak-kanak, merawat mangsa cedera dan menghadapi penembak.
Difahamkan, penyerang iaitu bapa dan anak lelaki itu melepaskan tembakan ketika orang ramai memenuhi pantai terkenal Australia berkenaan bagi perayaan Yahudi, dan membunuh 15 orang serta mencederakan puluhan yang lain.
Kisah keberanian dan ketakutan mula tersebar beberapa jam selepas insiden tembakan beramai-ramai paling maut di Australia dalam sejarah hampir 30 tahun.
Menurut media, terdapat sekumpulan pengawal pantai yang bercuti berlari merentasi pasir untuk membawa kanak-kanak ke tempat selamat.
“Pasukan itu berlari keluar di bawah tembakan untuk cuba mengeluarkan kanak-kanak dari kawasan permainan, sementara penembak melepaskan tembakan.
“Mereka berjaya membawa kanak-kanak masuk ke dalam. Pengawal pantai lain keluar dan mula melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) ke atas mangsa yang terkena tembakan serta cuba membawa sebanyak mungkin masuk ke dalam,” kata seorang saksi dari Surf Life Saving New South Wales, Steven Pearce.
Jelasnya lagi, terdapat juga seorang wanita hamil yang mahu bersalin selepas berlindung di ibu pejabat kelab ‘surfing’ dan sudah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Kami menggunakan setiap pembalut di kelab ‘surfing’. Pasukan sudah kehabisan segala kemudahan,” kata Pearce.
Media turut melaporkan, mangsa yang berdarah dibawa merentasi pantai di atas papan luncur yang dijadikan pengusung sementara.
Dalam pada itu, penjual buah, Ahmed Al Ahmed, 43, dipuji sebagai lelaki yang berani menghadapi salah seorang penyerang.
Rakaman menunjukkan Ahmed menyelinap ke arah salah seorang penembak sebelum bergelut dengannya lalu menumbangkannya ke tanah.
Berita berkaitan:
Tragedi Bondi: Kanak-kanak perempuan 10 tahun antara 16 yang maut
Tragedi Bondi: Wira bergelut dengan penyerang, dinamakan sebagai Ahmed al AhmedTragedi Bondi: Wira bergelut dengan penyerang, dinamakan sebagai Ahmed al Ahmed
© New Straits Times Press (M) Bhd



