Tragedi bot terbalik: Bot berjaya diapungkan, pencarian mangsa diteruskan

Tragedi bot terbalik: Bot berjaya diapungkan, pencarian mangsa diteruskan

am@hmetro.com.my

Klang: Bot yang terbalik di perairan Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang dan mengorbankan tiga individu termasuk seorang kanak-kanak lelaki semalam sudah berjaya diapungkan.

Pegawai Operasi Unit Penguatkuasaan dan Eksais Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Leftenan Maritim Mohd Syafiq Sazali berkata, proses tersebut adalah rumit berikutan pemasangan tali di bawah bot memerlukan kepakaran penyelam serta mengambil kira keadaan arus dan jarak penglihatan di dasar laut.

“Keadaan paras air yang sedang pasang sedikit sebanyak membantu operasi kerana bot masih mempunyai daya apungan. Ini memudahkan pemasangan tali berbanding waktu air surut di mana bot akan lebih melekat pada dasar,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mohd Syafiq berkata, Maritim Selangor akan mengepam keluar air dan menjalankan pemeriksaan terperinci ke atas ruang dalaman bot untuk memastikan tiada mangsa lain yang terbabit.

“Kerja pencarian di permukaan air masih dijalankan dengan bantuan lebih empat aset dari agensi terbabit serta beberapa bot milik Royal Selangor Yatch Club,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan tiga terkorban, manakala dua lagi yang juga pasangan suami isteri masih hilang apabila bot dinaiki mereka terbalik dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang semalam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top