Tragedi dipijak gajah: Mohamad Syafik baru pindah ke kampung jaga ibu sakit

Tragedi dipijak gajah: Mohamad Syafik baru pindah ke kampung jaga ibu sakit

am@hmetro.com.my

Mersing: Allahyarham Mohamad Syafik Yakob, 31, yang maut akibat diserang gajah berpindah ke Felda Tenggaroh 5 beberapa bulan lalu untuk menjaga ibu yang uzur.

Isteri, Nursharina Mohd Zen, 28, berkata, suaminya Mohamad Syafik Yakob, 31 sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan di Gelang Patah.

Menurutnya, dia sekeluarga mengambil keputusan berpindah ke Felda itu selepas Aidilfitri lalu.

“Kami pindah di sini sebab mak sakit, suami mahu jaga maknya yang alami strok.

“Selepas balik kampung lama juga dia mencari kerja dan di sekolah itu dia baru sahaja bekerja kira-kira tiga bulan,” katanya ketika ditemui di kediaman mentuanya di Felda Tenggaroh Timur 1, Mersing hari ini.

Ibu kepada seorang anak itu berkata, kali terakhir dia bertemu suaminya itu pagi tadi sebelum dia ke tempat kerja.

“Pagi ini, dia berkelakuan pelik, biasanya sebelum ke tempat kerja dia akan maklum dahulu, namun hari ini dia keluar kerja tanpa berkata apa-apa dan tidak jumpa anak.

“Namun malam tadi dia sempat bermain bergurau dengan anak kami yang berusia 11 bulan,” katanya.

Nursharina berkata, ketiadaan arwah suaminya menjadi kehilangan besar bagi keluarganya.

“Dia seorang suami yang baik, arwah akan dirindui selamanya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top