Tragedi FRU Teluk Intan: Polis siasat punca nahas, waris terima pampasan

Tragedi FRU Teluk Intan: Polis siasat punca nahas, waris terima pampasan

yusri.muzamir@bh.com.my

Teluk Intan: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan siasatan berhubung nahas membabitkan trak pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampan di sini, akan dibuat secara menyeluruh.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata siasatan juga akan memberi tumpuan kepada dakwaan pemandu lori membawa muatan batu kerikil mengelak kenderaan lain, sebelum hilang kawalan dan merempuh trak FRU terbabit.

Beliau bagaimanapun menasihati semua pihak supaya tidak membuat sebarang andaian, sebaliknya memberi laluan kepada polis untuk melaksanakan siasatan berkenaan.

“Kita akan siasat daripada setiap aspek dan sudut Ini dakwaan atau kenyataan di peringkat awal kita tak dapat sahkan lagi.

“Biarkan polis menjalankan siasatan lengkap. Kalau kata dia (pemandu lori) mengelak kenderaan lain, mungkin kita akan dapatkan kenyataan daripada pemilik kenderaan terbabit dan sebagainya.

“Dakwaan atau kenyataan yang ditularkan itu kita akan sahkan (kemudian selepas) siasatan dilengkapkan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh berhubung nahas membabitkan trak pasukan FRU dengan sebuah lori membawa muatan batu di sini, pagi tadi.

Anwar juga mahu bantuan sewajarnya disalurkan kepada mangsa dan ahli keluarga yang terkesan.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, PDRM menerusi tabung kebajikan akan menyalurkan sumbangan bernilai RM1,200 kepada setiap anggota yang terbabit dalam nahas itu, hari ini.

Selain itu, katanya, bantuan bernilai RM25,000 akan diberikan kepada waris anggota FRU yang meninggal dunia, manakala sumbangan RM8,000 hingga RM11,000 kepada mangsa yang cedera parah dan hilang upaya kekal (HUK).

Beliau berkata, mangsa yang mengalami cedera ringan pula akan menerima sumbangan bernilai RM1,000 dengan bentuk bayaran bergantung kepada penilaian pakar perubatan.

“Menerusi skim Ex Gratia Bencana Kerja PDRM, mangsa yang meninggal dunia akan menerima pampasan pukal bernilai RM20,000 dan bayaran bulanan kepada waris yang layak.

“Kes HUK atau cedera pula akan terima pampasan pukal atau bulanan, bergantung kepada tahap hilang upaya dialami mereka.

“HUK melebihi 21 peratus layak menerima pampasan pukal dan bulanan, manakala HUK kurang 20 peratus layak menerima pampasan bulanan sahaja,” katanya.

Beliau berkata, Koperasi PDRM turut menyediakan bantuan khairat kematian bernilai RM1,500 seorang, pampasan insurans antara RM36,000 hingga RM211,000, bergantung kepada jumlah caruman masing-masing.

“Sebagai sebahagian daripada inisiatif kebajikan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak turut menyumbangkan RM11,000 kepada anggota terbabit dalam kes berkenaan dan bayaran pendahuluan bernilai RM2,000 akan diserahkan hari ini.

“PDRM mengucapkan takziah kepada keluarga terbabit dan akan terus berusaha memastikan kebajikan anggota serta waris mereka sentiasa terbela,” katanya.

Berita berkaitan

* 8 anggota FRU maut kemalangan di Teluk Intan

* Kemalangan FRU: Angka kematian meningkat sembilan orang – Polis

* Kemalangan FRU: Lori muatan batu dipercayai alami kegagalan stereng – Polis

* PDRM akan pastikan keluarga anggota FRU terbabit kemalangan di Teluk Intan terjaga

* Tragedi kedua babit anggota FRU selepas 35 tahun

* Identiti nama 9 anggota FRU yang terkorban nahas sudah dikenal pasti

* Suasana pilu di Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan

* Nahas FRU: PM Anwar mahu siasatan menyeluruh, bantu mangsa dan keluarga

* Saksi dakwa lori muatan batu mahu elak kenderaan sebelum bertembung trak FRU

* ‘Saya sangka abang hanya cedera, rupanya dia sudah tiada’

* Arwah sangat gembira dikurniakan anak perempuan selepas 10 tahun menunggu – Isteri Koperal Amiruddin

* PDRM, warganet berdukacita tragedi timpa 9 anggota FRU

* ‘Anak kami sudah meninggal dunia, kini suami pula menyusul’

* ‘Nahas FRU: Bedah siasat dijangka selesai 8 malam ini’

* ‘Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan takziah kepada keluarga mangsa nahas FRU’

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top