zahratulhayat@nst.com.my
Tanjung Malim: Bedah siasat mayat Mustaqqeem Mansoor, pendaki yang maut di Gunung Liang ketika menyertai ekspedisi Trans Slim dari Bukit Fraser, mendapati beliau meninggal dunia akibat hipotermia.
Hipotermia atau kesejukan melampau, bermaksud keadaan apabila suhu badan seseorang turun ke paras yang terlalu rendah, biasanya di bawah 35 darjah Celsius, akibat terdedah kepada cuaca sejuk dalam tempoh lama.
Timbalan Ketua Polis Daerah Muallim, Deputi Superintendan Suhaimi Muhamad, berkata mangsa ditemukan mati di puncak Gunung Liang Barat pada Khamis lalu selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan pada hari sama.
“Operasi SAR yang membabitkan 43 anggota daripada pelbagai agensi digerakkan sebaik menerima laporan mengenai kehilangan pendaki berkenaan,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Pasukan penyelamat membawa turun mayat mangsa 3 petang semalam menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas menunggu keadaan cuaca baik.
“Mayat kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Slim River untuk bedah siasat yang dijalankan oleh pakar patologi forensik dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.
“Bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan oleh hipotermia (kesejukan melampau),” katanya.
Tambahnya, mayat mangsa kemudiannya dikenal pasti oleh isteri dan adik lelakinya sebelum dituntut oleh ahli keluarga untuk dikebumikan di kampung halamannya.
Terdahulu, dilaporkan bahawa Mustaqqeem bersama 10 lagi pendaki memulakan pendakian mereka pada 10 Oktober di Bukit Fraser dan dijadualkan menamatkan ekspedisi mereka di Gunung Liang.
Mustaqqeem kali terakhir dilihat berada di puncak Gunung Liang Barat bersama seorang lagi individu pada 10.30 malam 14 Oktober lalu.
Beliau dilaporkan mengalami kecederaan di kaki dan dilihat berjalan dengan perlahan sebelum dilaporkan hilang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




