Tragedi hantar anak sekolah: Kanak-kanak maut, motosikal ditunggangi ibu langgar tembok

Tragedi hantar anak sekolah: Kanak-kanak maut, motosikal ditunggangi ibu langgar tembok

am@hmetro.com.my

Bukit Mertajam: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut selepas motosikal yang ditunggangi ibunya terbabas sendiri dan melanggar tembok batu di bahu jalan dekat Jalan Song Ban Kheng, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Senior Asisten Komisioner Helmi Aris, berkata maklumat diterima jam 7.45 pagi sebelum anggota ke lokasi bagi menjalankan siasatan.

Menurutnya, kemalangan membabitkan motosikal yang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas sendiri.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal iaitu seorang wanita tempatan berusia 30 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala.

“Turut terlibat tiga kanak-kanak berusia antara 2 hingga 7 tahun yang membonceng motosikal terbabit yang mana seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun mengalami kecederaan kepala dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam (HBM).

“Manakala seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun mengalami kecederaan ringan dan seorang lagi berusia lima tahun tidak cedera,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Jelasnya, mangsa yang cedera kini dirawat di hospital sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu tular di media sosial gambar insiden menyayat hati itu apabila dua kanak-kanak perempuan yang memakai pakaian baju pra sekolah dilihat sugul menatap wajah ibu dan adik mereka yang cedera parah dalam kemalangan berkenaan.

Difahamkan, wanita itu membonceng tiga anaknya untuk menghantar mereka ke sekolah sebelum motosikal ditunggangi hilang kawalan dan terbabas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top