Jertih: Penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Nur Ain Najwa Mohd Ilias yang terselamat dalam kemalangan bas, 9 Jun lalu berjaya menerima tawaran pinjaman Majlis Amanah Rakyat (MARA) selepas menanti selama hampir dua tahun.
Nur Ain Najwa, 23, berkata surat tawaran berkenaan disampaikan Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki semasa hadir melawat di rumah keluarganya di Kampung Gong Kemuntong di sini Sabtu lepas.
“Sejak belajar di UPSI, saya pernah memohon pinjaman MARA sebanyak dua kali namun gagal kerana masalah teknikal semasa mengisi borang. Saya tidak sangka tragedi hitam itu terselit pelbagai hikmah antaranya mendapat pinjaman dimahukan sejak dulu.
“Pengerusi MARA (Asyraf Wajdi) juga memberi jaminan dua adik kembar yang berkorban menolak tawaran universiti supaya saya belajar terlebih dahulu, akan dibantu jika mereka ke universiti nanti,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Terdahulu, Persatuan Pandu Puteri Malaysia diketuai Yang Dipertua Pandu Puteri Cawangan Terengganu Tengku Puteri Daulath Raja Datuk Seri Fatimatuz Zahra’ Sultan Mizan Zainal Abidin melawat Nur Ain Najwa.
Anak kedua daripada enam beradik itu berkata selain tawaran pinjaman bermula semester depan iaitu Oktober, dia juga layak menerima wang bantuan sara hidup daripada MARA sebanyak RM800 sebulan.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Pendidikan itu berkata dua adik kembarnya Muhammad Hassan dan Muhammad Hussin, 22, membantu membiayai perbelanjaan harian di kampus selain turut menggunakan tabungan hasil bekerja sebagai pembantu kedai makan semasa cuti pengajian.
“Yuran pengajian pula dibayar menggunakan bantuan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) yang dimohon setiap tahun.
“Saya tidak memohon pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kerana sudah memperoleh pinjaman semasa belajar peringkat diploma di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA),” katanya.
Nur Ain Najwa berkata Muhammad Hassan merancang melanjutkan pelajaran di Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) manakala Muhammad Hussin sedang menunggu keputusan kemasukan ke Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang akan diketahui Jumaat ini.
Sebelum ini, Nur Ain Najwa sempat memberitahu kesusahan keluarganya kepada Asyraf Wajdi yang melawatnya di Hospital Gerik, Perak semasa dia dirawat kerana patah bahu kiri dan terseliuh pergelangan tangan kanan akibat kemalangan terbabit.
Dalam kejadian awal pagi 9 Jun, 15 penuntut UPSI maut apabila bas disewa khas dari Jertih untuk pulang ke kampus utama universiti itu di Tanjung Malim, Perak terbalik dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik.
© New Straits Times Press (M) Bhd