am@hmetro.com.my
Ayer Keroh: Kerajaan memberi peluang kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor serta syarikat konsesi untuk menyediakan laporan lengkap berhubung kerosakan jalan yang meragut nyawa dua beradik di Jalan Sengkang-Felda Inas-Bandar Tenggara di Johor.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, bagaimanapun berharap pihak berkenaan tidak mengambil masa terlalu lama untuk menyiapkan laporan berkenaan.
“Saya ingin memaklumkan kerosakan jalan berkenaan (berlubang) sudah dibaiki dan diturap, namun saya minta dalam tempoh terdekat laporan selengkapnya dapat diserahkan. Tidak perlu (sampai) sebulan, kalau boleh sebelum Hari Raya.
“Namun, saya tidak mahu mereka tergesa-gesa supaya laporan itu ada integriti, bukan dibuat secara sambil lewa saja. Jadi, saya berikan sedikit masa supaya laporan itu dapat disediakan dengan penuh integriti,” katanya selepas mengadakan tinjauan ke syarikat konsesi penyelenggaraan Jalan Persekutuan di Pejabat Operasi Selia Selenggara Selatan Sdn Bhd di sini, hari ini.
Alexander berkata, pihaknya sudah mendapatkan maklumat awal mengenai kejadian itu, namun masih menunggu laporan lengkap daripada pihak yang berkaitan.
Jumaat lalu, dua beradik, Norhazim Kamaruzaman, 17, dan adiknya, Nur Alif Ikhwan, 16, meninggal dunia selepas motosikal dinaiki mereka terlanggar lubang di lokasi kejadian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




