Tragedi koma cetus inspirasi lagu ‘Ku Yang Berjuang’

Tragedi koma cetus inspirasi lagu ‘Ku Yang Berjuang’

KUALA LUMPUR: Dalam tempoh hanya dua hari selepas dilancarkan, lagu Ku Yang Berjuang nyanyian Danial Kifli berjaya mencuri perhatian ramai apabila menembusi carta trending serta tular di pelbagai platform media sosial.

Di sebalik kejayaan lagu tersebut, tersimpan kisah penuh emosi dan penderitaan yang dilalui komposernya, Jal Arya apabila pengalaman hidup sebenar dijadikan inspirasi utama dalam penghasilan karya berkenaan.

Menurut Jal Arya, dia pernah melalui detik hitam apabila terlibat dalam satu kemalangan tragis sehingga menyebabkan dirinya koma dan berada dalam keadaan kritikal.

“Saya koma disebabkan kemalangan. Doktor beritahu saya sudah tiada harapan untuk hidup. Namun alhamdulillah, dengan kuasa Allah saya masih diberikan peluang untuk hidup.

“Apabila saya sedar daripada koma, saya cari dia, tetapi dia sudah tiada. Semua media sosial dan nombor telefon saya disekat. Dia hilang… dia pergi waktu saya nazak,” katanya.

Luahan tersebut menggambarkan kesakitan yang terpaksa ditanggung apabila bukan sahaja perlu bertarung antara hidup dan mati, malah kehilangan insan yang paling dipercayai ketika sedang berjuang untuk sembuh.

Tambahnya, pengalaman itu memberi kesan mendalam terhadap emosi dan mental dirinya, terutama apabila terpaksa menerima kehilangan tanpa sebarang penjelasan.

Tragedi koma cetus inspirasi lagu ‘Ku Yang Berjuang’

Daripada episod penuh duka itu lahirlah lagu Ku Yang Berjuang, sebuah karya yang menggambarkan realiti tentang kejatuhan, kehilangan dan kekuatan untuk bangkit semula dalam keadaan paling sukar.

Lagu tersebut turut diperkukuhkan dengan penyampaian vokal penuh penghayatan oleh Danial Kifli sehingga berjaya menyentuh hati para pendengar.

Sejak dilancarkan, Ku Yang Berjuang menerima sambutan luar biasa khususnya di TikTok apabila ramai pengguna media sosial mengaitkan lagu tersebut dengan perjalanan hidup masing-masing.

Momentum itu sekali gus melonjakkan lagu berkenaan ke tangga ketiga trending hanya dalam tempoh dua hari selepas pelancarannya.

Lagu Ku Yang Berjuang kini boleh distrim di semua platform digital manakala muzik video rasmi boleh ditonton menerusi YouTube.

Scroll to Top