am@hmetro.com.my
Alor Setar: Seorang lelaki ditemukan lemas, manakala sepupunya terselamat selepas berenang ke tebing selepas bot dinaiki mereka terbalik ketika memancing di Sungai Kubang Rotan, Kuala Kedah, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian itu, Muhammad Zulkifli Ahmad Tarmizi, 24, beralamat di Kuala Sungai ditemukan lemas oleh bomba.
Sepupunya yang terselamat, Muhammad Zikri Mohd Izham, 26, dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) selepas mengalami kecederaan pada kaki.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, pihaknya menerima maklumat pada 4.28 petang semalam memaklumkan kejadian lemas di lokasi kejadian.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat daripada bapa mangsa, anaknya dipercayai keluar rumah kira-kira 11 pagi semalam untuk pergi memancing di sungai berkenaan bersama sepupunya.
“Berdasarkan temu bual dengan saksi, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai itu ketika memancing ikan toman dan bot yang dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbalik.
“Kejadian dipercayai 4.15 petang dan seorang mangsa kemudian hilang sebelum ditemukan lemas, manakala seorang lagi terselamat selepas berenang ke tebing sungai.
“Pihak ambulans sampai di tempat kejadian dan pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kematian mangsa tidak lama kemudian, ” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Syed Basri berkata, bomba menemukan mangsa lemas itu pada 5.19 petang.
“Mayat mangsa lemas dibawa keluar dari lokasi kejadian pada 6.15 petang untuk dihantar ke Jabatan Forensik HSB untuk tindakan lanjut, ” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




