Tragedi Pantai Bondi: Penyerang dipercayai didorong 'ideologi Daesh'

Tragedi Pantai Bondi: Penyerang dipercayai didorong 'ideologi Daesh'

Sydney: Lelaki dan anaknya yang melepaskan tembakan dan mengorbankan 15 orang di festival Hanukkah di Pantai Bondi, dipercayai bertindak di bawah ‘ideologi Daesh’, kata Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese.

Beliau berkata petunjuk awal mendapati suspek iaitu Sajid Akram, 50 dan anaknya, Naveed, 24, terpengaruh dengan radikalisasi sebelum melakukan ‘pembunuhan beramai-ramai’.

Katanya, kejadian itu dilihat didorong ideologi Daesh yang sudah wujud lebih sedekad lalu, membawa kepada kebencian dan dalam kes berkenaan ia membabitkan kesediaan untuk pembunuhan beramai-ramai.

Albanese berkata, Naveed sudah dalam perhatian agensi risikan pada 2019, namun ketika itu dia tidak dianggap sebagai ancaman segera.

“Naveed menarik perhatian mereka kerana hubungan dengan individu lain.

“Dua daripada individu dikaitkan dengannya sudah didakwa dan dipenjara, tetapi dia ketika itu tidak dilihat sebagai individu menjadi perhatian,” katanya.

Sajid, dan Naveed, 24, melepaskan tembakan yang mengorbankan 15 orang dalam serangan bersenjata yang menyasarkan sambutan Hanukkah di pantai terkenal itu, pada Ahad.

Dua beranak itu melepaskan tembakan menggunakan senjata laras panjang selama 10 minit sebelum polis menembak dan membunuh Sajid.

Naveed ditangkap dan kini dalam keadaan koma serta dirawat di hospital akibat kecederaan serius, serta diletakkan di bawah pengawasan polis.

Sementara itu, puluhan orang ramai beratur di Pantai Bondi, Sydney untuk memberi penghormatan kepada mangsa insiden tembakan beramai-ramai terburuk di Australia dalam hampir 30 tahun.

Memorial bunga didirikan di Bondi Pavilion, beberapa meter dari lokasi serangan.

Pantai Bondi dibuka hari ini, tetapi lengang dan kebanyakan lokasi kosong.

Bondi adalah pantai paling terkenal di Sydney, terletak kira-kira 8.2 kilometer dari pusat bandar dan menarik ratusan ribu pelancong antarabangsa setiap tahun

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top