PEKAN: “Saya fikir mereka akan bertolak pagi sebab ayah biasanya balik kerja lewat, mungkin dia mahu berehat dahulu. Saya hanya tahu mereka sudah bertolak selepas dimaklumkan tentang nahas ini.”
Demikian kata Muhammad Afiq Syah Lokman Ludza, 20, anak sulung kepada pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Jalan Kuantan–Segamat, dekat Paloh Hinai, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, mangsa, Inspektor Syah Lokman Ludza Ramli yang bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan isterinya, Nurulfiza Ardiana Ambak maut di tempat kejadian manakala empat anak mereka berusia 10 tahun hingga 18 tahun cedera.
Muhammad Afiq berkata, dia hanya tahu berita kejadian itu selepas dikejutkan bapa saudaranya kira-kira pukul 4 pagi ketika sedang tidur di rumah neneknya di Jempol, Negeri Sembilan.
“Saya baru sampai di Jempol dari Jerantut. Pak cik kejutkan saya daripada tidur dan beritahu Mama (ibu) dan Papa (bapa) sudah tiada, mereka terlibat kemalangan,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Pekan di sini hari ini.
Menurut Muhammad Afiq Syah, dia kini sedang menjalani latihan industri di Jerantut, Pahang dan pulang ke Jempol petang semalam dengan menaiki Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Menurut pelajar Kolej Vokasional Pertanian Chenor itu, kali terakhir dia bertemu ibu dan bapanya awal bulan ini ketika menghadiri program hari keluarga di Kuantan.
Katanya, dia sempat berhubung dengan ibunya malam semalam dan meminta dibawakan beberapa barang sebelum mengetahui pasangan itu sebenarnya dalam perjalanan pulang ke Jempol.
“Saya ada hubungi mak malam, hendak bergurau dan beritahu sudah sampai stesen. Dengan ayah pula saya mesej masa masih di Jerantut, minta tolong bawakan barang sikit dan dia balas ‘okey’.
“Saya ingat mereka nak gerak pagi sebab Mama tengah kemas barang malam tadi. Tak sangka mereka bertolak awal pagi,” katanya.
Muhammad Afiq berkata, dia dimaklumkan bapanya mula bergerak dari Kuantan kira-kira pukul 1.30 pagi sebelum kemalangan berlaku tidak lama kemudian.
Sementara itu, jenazah kedua mangsa dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Pekan kira-kira pukul 3.40 petang dan dibawa ke Surau Perumahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) IPD Pekan untuk solat jenazah.
Solat jenazah diimamkan Muhammad Afiq dan dihadiri kira-kira 100 ahli keluarga dan kenalan. Allahyarham pasangan suami isteri itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Raja Alias Dua, Negeri Sembilan.
Terdahulu, pasangan berkenaan dilaporkan maut dalam kemalangan membabitkan kereta Proton Wira dan Honda City di Kilometer 76 Jalan Kuantan-Segamat dekat Paloh Hinai.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, anggota polis terbabit yang memandu kereta jenis Proton Wira dan isterinya maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Empat anak mangsa, Muhammad Adib, 18, cedera di bahagian pinggang dan rahang; Nur Arissa Safiya, 15, cedera ringan; Muhmammad Aqil, 13, cedera ringan dan Muhammad Akif, 10, patah kaki kiri. Semua mangsa dirawat di Hospital Muadzam Shah, Rompin.
Pemandu Honda City, Muhammad Syafiq Ali Ahmad, 26, cedera ringan dan Nur Aqilah Musa, 26, yang mengandung 22 minggu cedera dan dirawat di Hospital Muadzam Shah. – UTUSAN




