am@hmetro.com.my
Dungun: Wanita yang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis perkahwinan adiknya maut bersama anak, selepas kenderaan dipandu terbabas di Kilometer 59 Jalan Jerangau-Jabor dekat Felda Jerangau, dekat sini, hari ini.
Dalam kemalangan pada 6.10 petang itu, Nurul Hafizah Shaary, 39, dan anaknya Mohd Redzuan Arash Mohd Redzuan, 13, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan dialami.
Tiga lagi anaknya termasuk yang berusia tiga tahun pula parah dan dihantar ke Hospital Dungun untuk rawatan.
Ketika kejadian enam beranak itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Ajil, Hulu Terengganu selepas menghadiri majlis perkahwinan adik di daerah ini.
Difahamkan kenderaan dipandu Nurul Hafizah hilang kawalan sebelum terbabas ke kanan jalan, merempuh paip besar dan terbalik ke cerun.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS) Mohd Harith Che Hussin berkata, sepasukan enam anggota ke lokasi selepas menerima panggilan pada 6.19 petang.
“Sebaik tiba, kami dapati empat mangsa tersepit di dalam kenderaan, manakala kanak-kanak berusia tiga tahun telah berjaya dikeluarkan orang ramai dan dikejarkan ke klinik kesihatan berhampiran.
“Pemandu dewasa dan seorang anaknya yang berusia 13 tahun ketika itu disahkan sudah meninggal,” katanya.
Mohd Harith berkata, pihaknya mengambil masa 15 minit untuk mengeluarkan keempat-empat mangsa tersepit dan dua mangsa cedera dibawa dengan ambulans ke Hospital Dungun.
Katanya, mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




