Kuala Lumpur: Sama ada letupan paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu berpunca daripada kerja pengorekan jentolak hanya akan dijawab menerusi hasil siasatan polis dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) yang dijangka siap bulan ini.
Bagaimanapun, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan keberadaan jentolak di lokasi berhampiran sebelum kejadian letupan berlaku.
“Kita sahkan ada satu jentolak digunakan untuk kerja korekan pemasangan paip pembetungan yang diletakkan di hadapan lot kedai yang belum siap.
“Kita percaya sewaktu letupan berlaku, jentolak ini tertanam dalam kawasan kawah. Jadi di akhir proses pemulihan nanti, kita akan korek kawasan itu untuk mengeluarkannya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Podcast Utama bertajuk Bahang Sengsara Putra Heights, yang disiarkan di seluruh platform media sosial Buletin TV3, hari ini.
Katanya, selepas spesimen untuk siasatan JKKP diperoleh dan kerja pemulihan paip Petronas selesai, pihaknya akan menjalankan penggalian di kawasan itu untuk mengesahkan kedudukan jentolak.
Menurut Hussein, sejak hari pertama siasatan, pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menjalankan kerja-kerja penggalian semula di kawasan pemasangan paip oleh kontraktor terbabit.
“Sebelum ini siasatan tertumpu di kawasan tengah paip. Kita korek sehingga 16 meter kerana letupan telah mengubah struktur dan kedalaman tanah.
“Salah satu skop siasatan adalah kerja-kerja korekan. Polis sudah kenal pasti siapa melakukan kerja itu, kontraktor mana terbabit jentera apa digunakan dan tujuan kerja itu,” katanya.
Beliau berkata, jika berlaku sebarang kacau ganggu di kawasan tanah berkenaan, ia boleh dikesan pasukan forensik.
“Pasukan forensik ditugaskan untuk melihat sejauh mana tanah dikacau atau dikorek. Kita boleh tahu kedalaman korekan berdasarkan pengukuran yang dibuat.
“Persoalan utama adakah kerja jentolak menyebabkan paip pecah dan meletup – itu akan dijawab hasil siasatan teknikal polis dan JKKP,” katanya.
Hussein turut menjelaskan, sudut siasatan turut meliputi elemen bahan letupan sekiranya ada.
“Kita ambil sampel dari tanah untuk tentukan sama ada terdapat bahan letupan yang boleh menyebabkan insiden ini.
“Sebagai contoh, kalau ada bom lama tertanam, atau unsur sabotaj, semua itu dalam skop siasatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd