hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Subang Jaya: Pertubuhan Kebajikan Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru di sini, berharap kerajaan memperhalusi dan melihat semula harga siling kos baik pulih rumah yang terjejas dalam tragedi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, April lalu.
Pengerusinya, Baharudin Yusof berkata, pihaknya sangat menghargai bantuan pembinaan semula dan pembaikan rumah diberikan kerajaan pusat dan kerajaan negeri.
Bagaimanapun dakwanya, wujud jurang perbezaan harga siling baik pulih rumah di bawah seliaan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) yang mana harga siling baik pulih rumah di Putra Heights ialah RM60,000 sementara RM30,000 bagi Kampung Kuala Sungai Baru menjadikan mereka terkilan dan rasa terpinggir.
Katanya, ramai mangsa merungut kerana kos baik pulih rumah di kampung ini melebihi daripada harga siling ditetapkan dan beliau berdepan situasi sama apabila kos baik pulih rumah RM39,000 namun hanya diberikan RM30,000 dan RM9,000 tidak termasuk peruntukan.
“Dia (pihak berkenaan) kata membaik pulih pembaikan kerosakan jadi sekarang kita sudah bawa keluar modal baiki kerosakan tetapi kenapa pihak MBSJ menetapkan satu siling RM30,000 untuk orang kampung manakala RM60,000 untuk Putra Harmoni, apa asas dia.
“Kami beli pasir, simen, besi dan genting yang sama. Adakah kerana (rumah) mereka teres dua tingkat, duduk ‘high class’ (sementara) kami di kampung, berada di Lembah Sungai Klang maka kami diberi RM30,000 di mana adilnya,” katanya pada sidang media surat terbuka kepada Perdana Menteri dan Kerajaan di sini, hari ini.
Menurutnya, pihaknya berharap perkara itu dapat diberi sama rata kerana ada kos pembaikan melebihi peruntukan diberikan selain turut berharap pihak MBSJ mengadakan taklimat dan dialog bersama semua mangsa di kampung mereka berkenaan jurang perbezaan itu.
Katanya, pihaknya juga terkilan dan kecewa terhadap prestasi kontraktor lantikan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang didakwa lambat dan tidak profesional dalam kerja pembinaan semula rumah yang musnah dan baik pulih rumah yang mengalami kerosakan melebihi 40 peratus.
Menurutnya, ketika ini 13 rumah sedang dibina membabitkan lapan unit musnah sepenuhnya dan lima rumah baik pulih RM150,000 yang didakwa ada sebahagiannya dilakukan agak lambat sekali gus ia boleh memberikan tekanan kepada mereka yang masih menyewa rumah.
“Memang ada rumah kemajuannya baik tetapi ada juga yang agak lambat seperti lot 4, 5 dan 6, malah ada dua rumah masih belum mula kerja baik pulih,” katanya kampung berkenaan merangkumi enam bahagian iaitu Lot 4,5,6,7,8 dan 9.
Dakwanya juga, ketika ini ada penduduk masih belum menerima bayaran sewa rumah untuk fasa kedua iaitu bagi tempoh tiga bulan bermula Julai yang mana ia dikhuatiri akan menambah bebanan kewangan namun fasa pertama bermula April lalu tiada masalah.
Sementara itu, Setiausaha pertubuhan berkenaan, Mohd Badly Nordin berkata, pihaknya berharap campur tangan kerajaan dan Perdana Menteri supaya dapat menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), mendedahkan semua laporan rasmi kepada rakyat dan membuka semula siasatan secara bebas dan telus berhubung insiden.
Katanya, mereka tidak bersetuju dan kesal apabila pihak berkuasa mengklasifikasikan kes itu sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
“Kenapa langsung tiada unsur dikaitkan dengan laporan siasatan berkenaan. Hasil laporan siasatan mengatakan tiada unsur kecuaian dan tiada unsur jenayah, takkan tiada sekurang-kurangnya unsur cuai yang boleh dikaitkan dengan kelemahan tanah dan kegagalan sambungan kimpalan.
“Kalau dikatakan sebab faktor alam semula jadi tetapi siapa yang menyelenggara benda itu, kenapa mereka tak dapat kesan kelemahan tanah yang menyebabkan berlakunya letupan itu. Kami rasa ini bukan satu kecuaian kecil. Ini adalah satu kecuaian yang sangat besar.
“Jadi kami mohon supaya siasatan itu dijalankan semula dan RCI ditubuhkan supaya adanya semak dan imbang dari segi laporan yang dikeluarkan,” katanya.
Dalam pada itu, penduduk, Mohd Nasir Abd Hamid, 69, berkata, rumahnya belum dimulakan kerja baik pulih namun dia berharap kerja berkenaan dapat dilakukan segera.
“Saya kini tinggal di rumah ini, biasalah banyak kenangan di sini dan sementara isteri dan anak tinggal di rumah sewa.
“Saya sudah tinggal lebih 40 tahun di sini dan berharap rumah segera dibaik pulih dan kami sekeluarga dapat berkumpul macam dulu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd