SHAH ALAM: Serahan sumbangan kepada penduduk yang menjadi mangsa tragedi letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada April lalu akan diteliti termasuk mempercepatkan proses penyerahannya.
Malah, penduduk yang masih memerlukan bantuan sewa akan menerima duit untuk tiga bulan lagi berdasarkan senarai sedia ada.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau akan meneliti perkara tersebut dengan exco berkaitan termasuk bantuan bayaran sewa kepada penduduk belum dapat menduduki rumah masing-masing.
“Saya akan teliti balik sebab sebagaimana dimaklumkan dalam (Sidang) Dewan Undangan Negeri (DUN) (pada awal Julai lalu), proses (baiki atau bina semula rumah) itu akan siap (pada) Oktober. Memang dia akan ambil sedikit masa sebab bukan kerosakan dialami.
“Tetapi, saya akan tengok kalau dikatakan perlahan (prosesnya), saya akan semak balik. Dalam DUN pun saya maklumkan 22 hingga 24 peratus (pembaikan) sedang berjalan oleh Syarikat Perumahan Negara, malahan di Kampung Kuala Sungai Baru lebih cepat,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, terdapat penduduk Kampung Kuala Sungai Baru mendakwa masih belum menerima sebarang bantuan termasuk sewa rumah daripada kerajaan negeri.
Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru (KKSB), Mohd. Badly Nordin berkata, pihaknya masih menerima aduan daripada penduduk, namun sudah pun mengajukannya kepada ketua kampung.
Menurutnya, beliau dimaklumkan kerajaan negeri sedang membuat bancian, iaitu menyemak berapa ramai mangsa yang sudah tinggal semula di rumah.
Malah, Amirudin menafikan bantuan diterima oleh penduduk di Kampung Kuala Sungai Baru dan Putra Heights berbeza dan menjelaskan ia diberikan berdasarkan kadar kerosakan mengikut siling yang ditetapkan.
“Rumah di Putra Heights ada yang total lost (rosak keseluruhan). Kita ada beberapa kategori, rumah yang total lost sehingga RM300,000, yang mengalami kerosakan kecil up to RM60,000.
“Antara kedua-duanya itu pula ada proses-proses tertentu, tidak ada bezanya. Kita tetapkan rumah itu kecil sahaja (kerosakannya), jadi tetap siling RM60,000. Jadi, mungkin itu tanggapan (dakwaan) liar,” ujarnya. – UTUSAN




