Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) lembam berusia 28 tahun didakwa di hospital hari ini atas pertuduhan membunuh seorang peminta sedekah dalam kejadian yang dipercayai berpunca daripada perebutan lokasi meminta sedekah.
Tertuduh, Mohamad Fauzan Adib Abd Aziz, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam, Mislia Mohd Aris dalam satu prosiding tertutup yang berlangsung di wad pemerhatian Hospital Shah Alam (HSAS).
Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, prosiding yang dijalankan pada jam 10.22 pagi itu dibuat secara tertutup memandangkan tertuduh masih menerima rawatan akibat penyakit sawan yang dialaminya.
Tertuduh berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun jika sabit kesalahan.
“Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Alia Anisa Khairus Masnan, manakala tertuduh hadir tanpa diwakili peguam. Sebutan semula kes dijadualkan pada 9 Jun depan di Mahkamah Majistret Shah Alam,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, media melaporkan kejadian menyayat hati yang berlaku di hadapan sebuah bank di Seksyen 18, Shah Alam pada 24 April lalu.
Difahamkan, mangsa dan suspek dikatakan bergelut akibat berebut tempat meminta sedekah, dan pertelingkahan yang bermula sehari sebelum itu akhirnya membawa kepada insiden tragis sekitar jam 11 pagi.
Mangsa, seorang lelaki berusia 40 tahun yang sudah berkahwin, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dipercayai ditikam berkali-kali.
Walaupun tidak memiliki kad OKU, mangsa dilaporkan memakai besi di kaki kanan akibat kemalangan jalan raya yang berlaku tiga tahun lalu.
Sumber: Berita Harian




