am@hmetro.com.my
Jitra: Kesedihan keluarga ini belum reda dengan pemergian seorang anak kembar, mereka diuji sekali lagi apabila enam ahli keluarga maut dalam tragedi di Sungai Korok.
Dalam kejadian itu, kereta Proton Iswara dinaiki pasangan suami isteri, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, terbabas dan tenggelam di Sungai Korok.
Tragedi itu turut mengorbankan empat anak mereka iaitu Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan bayi lelaki berusia enam bulan, Tuah Haydar.
Adik kepada Mohamad Azim Izat, Nur Shafika Izani Ishak, 20-an, berkata tragedi itu berlaku hanya beberapa bulan selepas abangnya kehilangan anak kembar kepada Tuah Haydar, iaitu Jebat Haydar, yang meninggal dunia pada Februari lalu akibat masalah kesihatan.
“Kami mencadangkan supaya jenazah abang dan kakak ipar serta empat anak dikebumikan berhampiran kubur Jebat Haydar di Jerlun,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Mengimbas nasib menimpa keluarga abangnya itu, Nur Shafika berkata, dia bersama ahli keluarga lain sudah puas mencari mereka di merata tempat termasuk di kawasan sekitar Sungai Korok, namun tidak menemui sebarang petunjuk.
“Semalam, keadaan air sungai ini agak tinggi, namun hari ini air dah surut sikit… sebab itulah nampak sedikit bahagian kereta Proton Saga Iswara milik abang.
“Kejadian berlaku tidak jauh dari rumah ibu mentua abang di Jerlun dengan perjalanan mengambil masa kira-kira empat minit sahaja lagi,” katanya.
Menurutnya, keluarga abangnya itu dalam perjalanan pulang ke Jerlun selepas bermalam di rumah kakak mereka di Taman Sri Aman, Jitra, yang jaraknya kira-kira 22 kilometer dari lokasi nahas.
Sementara itu, adik kepada Nurul Hidayah Khadijah, Muhammad Aiman Aizat, 21, berkata dia masih terkejut dengan pemergian serentak kakak sulungnya itu bersama suami serta empat anaknya.
“Mereka hilang sekelip mata. Saya sedih kerana kakak sulung saya ini sangat mengambil berat terhadap adik-adiknya,” katanya yang juga anak kelima daripada enam beradik.
Berita Berkaitan
- ‘Kami tidak berhenti cari abang, isteri dan empat anaknya sejak mereka hilang’
- ‘Saya mimpi ayah cakap jangan sedih, jaga kakak dari jauh’
- Identiti 6 beranak lemas sudah dikenal pasti
- Semua mangsa ditemukan di bahagian kiri kereta, dipercayai cuba untuk keluar
- Mayat 6 sekeluarga ditemui dalam kereta di Sungai Korok
- Kereta tenggelam di Sungai Korok
- 6 beranak tidak pulang, gagal dihubungi cetus keresahan keluarga
© New Straits Times Press (M) Bhd