Dalam tragedi memilukan yang berlaku di Sungai Jahang, Gopeng, Perak, tiga individu maut ketika menjalani aktiviti water rafting.
BACA: Tragedi Water Rafting Sungai Kampar: 3 Peserta JKR Lemas Dihanyutkan Arus Deras
Salah seorang mangsa, Muhammad Ikram Abdul Bari, sempat menghantar pesanan Whatsapp terakhir kepada ibunya sebelum insiden itu berlaku.
Menurut laporan Harian Metro, ibu Ikram, Fatimah Walad, mendedahkan bahawa anak bongsunya sempat mengirim gambar dan video keadaan sungai melalui WhatsApp.
Arwah sempat hantar video, tak sangka itu perbualan terakhir
Dalam video itu, kelihatan air sungai semakin naik dengan arus yang deras. Fatimah yang berasa tidak sedap hati meminta arwah supaya berhati-hati.
Arwah sempat menghantar gambar dan video WhatsApp kepada saya, keadaan sungai ketika itu dan memaklumkan air sungai naik, selain arusnya laju. Saya tak sedap hati dan menasihatkannya supaya berhati-hati dan jangan ‘stunt’ sangat sebab bimbang ada batu.
Namun, Fatimah hanya mengetahui kejadian itu pada pukul 7 malam, hampir dua jam selepas kejadian.
Anak-anaknya yang lain mengetahui berita itu lebih awal tetapi merahsiakannya kerana bimbang kesihatannya yang mempunyai masalah jantung.

Fatimah menggambarkan Ikram sebagai seorang anak yang penyayang dan bertanggungjawab. Selepas kehilangan ayah pada tahun 2009, Ikram sentiasa berada di sisi ibunya, malah menjaga Fatimah ketika menjalani pembedahan jantung tiga tahun lalu.
Dia pergi ke Gopeng menunggang motosikal dan menghantar WhatsApp pada saya memaklumkan dia sudah sampai di lokasi pada 2.29 petang.
Saya ingatkan dia supaya jamak dulu kerana waktu Zuhur dah nak habis dan hanya balas, OK saja, sebelum dia mengambil gambar serta video air sungai yang mengalir deras ketika itu.
Ikram, yang bekerja di Langkawi selepas berkahwin, tinggal bersendirian di kuarters. Isterinya, Nur Afifah Amira, bersama anak tunggal mereka, Aisy Adani, kini menetap dengan keluarga mentua kerana komitmen kerja di sebuah bank.
