Kira-kira dua tahun lalu, saya pernah kembara dan menjejakkan kaki ke Alishan, sebuah pegunungan yang masih menyimpan hutan setulen mungkin. Ada satu ketika, saya mahu memeluk pokok, tapi penjaga hutan menasihati saya untuk meminta izin terlebih dahulu kepada pokok itu.
Katanya, ‘pokok-pokok ini sama sahaja seperti manusia, sudah tentu kita tidak selesa jika ada orang tiba-tiba memeluk kita’. Saya fikir, itu adalah momen indah yang mengajar saya untuk berhati-hati juga bersopan kepada pokok dan hutan. Seringkali kita terlupa bahawa mereka juga adalah makhluk.
Kenangan itu muncul samar-samar ketika saya menonton filem Clint Bentley, Train Dreams yang meraih empat pencalonan Oscar tahun ini.
Dengan latar hutan yang megah, bunyi serangga, sebuah persembahan visual yang menghantar kita begitu pantas kepada rasa misteri hanya beberapa saat setelah filem dibuka. Tapi seperti ulasan saya sebelum ini, saya akan menanggalkan segala unsur teknikal kerana percaya filem harus dinilai dari jantungnya iaitu cerita.
Saya percaya ‘train’ dalam filem ini hanyalah sekadar metafora, bagaimana kita sebagai manusia saling bergerak dari satu titik ke titik lain dalam hidup. Tiada sesiapa yang paling tahu apa akan terjadi kepada kita pada titik tertentu. Kita hanya perlu melaluinya.

Ketika Robert Grainier lahir, hidupnya sahaja sudah misteri. Dia tidak tahu siapa ibu dan bapanya, bagaimana rupa mereka hinggalah kenapa 100 pekerja Cina dihalau dari pekan tempatnya membesar.
Tapi setelah dia bertemu Gladys, seorang gadis yang memperkenalkan diri secara bersahaja, mereka berkahwin dan tiba-tiba hidupnya mempunyai makna. Grainier selalu dekat dengan alam bahkan membangun rumah yang selalu diceritakan isteri di dalam hutan buat melindungi keluarga kecilnya.
Bagaimanapun, saya tertarik untuk menyatakan sebuah situasi yang ironi apabila Grainier yang sangat dekat dengan alam dan hutan menjadikan pekerjaannya sebagai pembalak sebagai sumber mencari rezeki.
Jika kita melihatnya daripada falsafah deep ecology yang menyuakan pandangan bahawa alam adalah makhluk, Grainier boleh dibaratkan sebagai orang yang sedang melakukan pengkhianatan.
Oleh itu, seperti satu dialog dalam filem ini ‘Tuhan selalu ada cara untuk bercakap dengan kita’, siapa sangka, Tuhan bercakap kepada Grainier melalui pokok-pokok apabila isteri dan anaknya lesap ‘disapu’ hutan.
Juga menarik, apabila detik Grainier berhadapan dengan peristiwa paling pahit dalam hidupnya itu, dia berada di dalam kereta api untuk pulang.

Seperti yang saya katakan tadi, kereta api seperti perjalanan hayat yang membawa kita dari satu titik ke titik, siapa sangka, Grainier tiba di titik terendah hidupnya petang itu.
Train Dreams tidak dihasilkan untuk membuat kita melopong dengan plot yang megah, tapi sebuah filem yang memberi kita sebuah rasa sunyi dan misteri yang mencengkam. Apa lagi selepas Grainier hidup dalam keterasingan selepas pemergian isteri dan anak. Dia menjadi ‘majnun’ yang selalu menjadi bahan percakapan orang-orang di pekan, kerana menunggu keluarga kecilnya ‘pulang’. Tapi saya percaya, Grainier mengasingkan diri kerana tidak ada seorang pun di tempat itu yang faham kesunyian, rasa kosong dan luka yang dirasanya.
Filem ini memulangkan kita kembali kepada hutan. Hutan adalah makhluk yang tua, mereka menyaksikan dan mendengar tiap gema yang pernah ada. Sehingga kita tidak tahu mana yang mula dan mana yang akhir. Cuma kita tahu, pohon yang mati pun ada fungsinya.
Begitu jugalah manusia, kita hanya perlu mengharunginya. Jika kita tidak jumpa setiap jawapan daripada pertanyaan yang terbit daripada luka, mungkin kita hanya perlu bergerak dan tunggu sampai jawapan itu tiba kepada kita, walau memakan masa bertahun lamanya.
Selepas menulis Train Dreams untuk siaran kali ini, tamatlah sudah siri ulasan untuk filem-filem pencalonan Oscar pada tahun ini yang saya tuliskan sepanjang 10 minggu.
Saya ingin berterima kasih kepada pembaca yang sempat bersama-sama saya untuk melihat bagaimana industri perfileman dunia bergerak dari kanta para pembikinnya.




