KAHERAH – Beberapa trak membawa bantuan kemanusiaan dilihat mula memasuki Genting Gaza dari Mesir pada Ahad ketika tentera Israel mengumumkan ‘jeda taktikal’ di beberapa kawasan bagi membolehkan penghantaran dilakukan.
Media berkait kerajaan Mesir turut mengesahkan pergerakan konvoi berkenaan dan menyiarkan rakaman trak bantuan berada di kawasan sempadan.
Namun, trak-trak itu tidak dapat memasuki Gaza secara terus melalui Lintasan Rafah kerana kawasan tersebut telah dikuasai tentera Israel sejak tahun lalu dan kini mengalami kerosakan teruk.
Sebaliknya, kesemua trak perlu membuat lencongan beberapa kilometer ke Lintasan Kerem Shalom yang dikuasai Israel untuk proses pemeriksaan sebelum dibenarkan masuk ke selatan Gaza.
Rakaman video AFPTV menunjukkan trak-trak besar sarat membawa guni putih melalui pintu pagar Rafah di sebelah Mesir.
Sebahagian trak memaparkan logo Bulan Sabit Merah Mesir, manakala yang lain memaparkan bendera Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta sepanduk bertulis: “Bantuan Kemanusiaan UAE ke Gaza, Projek Sokongan Air di Gaza.”
Tentera Israel pada Ahad memaklumkan jeda harian bermula dari jam 10 pagi hingga 8 malam (waktu tempatan) hanya terpakai di kawasan tertentu seperti Al-Mawasi, Deir el-Balah dan beberapa bahagian di Bandar Gaza iaitu kawasan yang tidak mempunyai operasi ketenteraan Israel.
Mereka turut membuka laluan selamat merentasi Gaza untuk memudahkan konvoi bantuan dikendalikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi kemanusiaan lain.
Langkah itu diambil susulan tekanan antarabangsa terhadap krisis kebuluran yang semakin parah di wilayah tersebut.
Israel sebelum ini memulakan penghantaran makanan melalui udara, selaras dengan tindakan UAE dan Britain.
Namun, pegawai kemanusiaan PBB masih ragu-ragu dengan keberkesanan rancangan tersebut.
Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini menyifatkan kaedah itu sebagai mahal, tidak efisien dan berisiko membunuh orang awam yang kelaparan.
Israel menegaskan bahawa mereka tidak menyekat bantuan, malah menuduh agensi PBB gagal mengagihkan barangan yang sudah masuk ke Gaza.
Namun begitu, organisasi bantuan mendakwa tentera Israel menyekat akses dan mewujudkan situasi bahaya di pusat pengagihan.
Pada Sabtu, agensi pertahanan awam Gaza memaklumkan lebih 50 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan dan tembakan Israel, termasuk ketika sedang menunggu bantuan tiba. – AFP