Transformasi digital pemangkin pertumbuhan ekonomi ASEAN – Duta Indonesia

Kuala Lumpur: Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN Pertama (ADGMIN1) akan berfungsi sebagai platform ideal pembuat keputusan membincangkan tindakan menyegerakan transformasi digital di negara masing-masing dan di rantau ini secara keseluruhan untuk memenuhi perubahan baharu yang dicetuskan pandemik COVID-19.

Duta Indonesia ke Malaysia Hermono berkata ketika pandemik global, teknologi digital muncul sebagai  penghubung penting dalam kehidupan seharian masyarakat berbanding sebelum ini.

“Setiap aspek kehidupan kita terkesan dengan penularannya. Ia juga memberi kesan besar terhadap aktiviti ekonomi.

“Saya percaya mesyuarat ini adalah forum untuk bertukar pandangan dan dasar mengenai penggunaan spektrum untuk tujuan telekomunikasi, serta hal berkaitan dengan industri telekomunikasi di rantau Asia Tenggara,” kata Hermono kepada Bernama sempena  ADGMIN1 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan dari 18-22 Jan, yang dipengerusikan Malaysia.

Bertemakan “ASEAN: A Digitally Connected Community”, mesyuarat itu bertujuan memperkukuh kerjasama ASEAN ke arah membangun ekosistem digital sebagai tonggak dalam rancangan pembangunan pasca-COVID-19.

ASEAN, ditubuhkan pada 1967, merangkumi Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Hermono berkata antara fokus mesyuarat itu mengenai penggunaan perkhidmatan digital lebih baik oleh ASEAN bagi membolehkan ekonomi ASEAN pulih dengan pantas daripada pandemik COVID-19.

Sehubungan itu, beliau menyarankan antara perkara harus diberi perhatian ialah mengenai pentingnya menjadikan kepercayaan sebagai asas utama untuk mendorong masyarakat  menerapkan transformasi digital.

“Pada tahap ini, Indonesia akan menumpukan kepada Transformasi Digital.

“Revolusi Industri 4.0 telah membawa perubahan signifikan terhadap berbagai aspek kehidupan manusia, kini kita dapat lihat dengan jelas bagaimana perubahan ini menjadi kuasa fenomena yang tidak dapat dihentikan. Sepanjang 2020 lalu, syarikat-syarikat dunia dan juga di Indonesia saling bersaing dalam berinovasi untuk memenangi persaingan pasaran.

“Oleh itu, mesyuarat Menteri Digital ASEAN mungkin dapat mendorong mempercepatkan transformasi digital dan mengembangkan ekosistem digital yang mampan,” katanya.

Berkongsi pengalaman Indonesia tentang transformasi digital, Hermono berkata kerajaan Indonesia memberikan perhatian utama terhadap perkembangan pertumbuhan ekonomi digital dan membuat dasar yang proaktif untuk memperkukuh transformasi digital di republik itu.

“Dalam konteks ini, Kementerian Komunikasi dan Informasi Republik Indonesia (MCI RI) meletakkan keutamaan dalam membangun dan mengembangkan infrastruktur ICT untuk akses yang adil dan sambungan jalur lebar ke seluruh Indonesia.

“Lebih-lebih lagi, MCI RI mengalakkan transformasi digital di sektor ekonomi dan kerajaan, serta menyediakan ekosistem digital dan bakat digital,” katanya.

Katanya, ini termasuk merumuskan peta laluan transformasi digital nasional untuk memandu sepuluh sektor yang berkaitan iaitu kerajaan, industri, pendidikan, kesihatan, perdagangan, perkhidmatan kewangan, harta tanah, media dan hiburan, pelancongan serta pertanian dan perikanan.

Kerajaan juga menyasarkan untuk mengembangkan peraturan dan mekanisme pendanaan bagi memacu ekonomi digital, seperti menyusun Rang Undang-Undang Perlindungan Data Peribadi dan Undang-Undang Penciptaan Pekerjaan di sektor telekomunikasi dan penyiaran.

Pusat Data Nasional juga akan ditubuhkan pada 2023, katanya.

Selain turut menekankan peningkatan bekalan dan pengembangan sumber manusia secara berterusan dalam bidang digital.

Belia menambah, kerajaan juga menumpukan kepada memperluas akses internet dan meningkatkan infrastruktur digital, termasuk mengembangkan infrastruktur internet berkelajuan tinggi di lebih 12,500 perkampungan atau sub-daerah, yang akan menjadi pemangkin kepada pelbagai permulaan yang dikuasai oleh milenium.

Tumpuan turut diberi kepada kulinari, perkhidmatan dan perdagangan dalam talian.

Hermono berkata berdasarkan data daripada Biro Statistik Pusat, sektor komunikasi dan informasi telah menyumbang 4.25 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Indonesia, sementara sektor tersebut, sebagai elemen utama dalam mendorong ekonomi digital, memiliki kadar pertumbuhan yang selalu mengatasi kadar pertumbuhan KDNK negara.

Pada 2019, katanya, pertumbuhan adalah 9.41 peratus melebihi KDNK nasional yang meningkat 5.02 peratus.

“Sektor komunikasi dan informasi dapat menjadi sektor pembantu untuk merangsang kesan peningkatan pertumbuhan di sektor lain serta dapat membantu memulihkan ekonomi Indonesia yang terkesan oleh pandemik Covid-19,” katanya.

Menurut Kementerian Komunikasi dan Informasi Indonesia, tinjauan yang dilakukan pada 2020 menunjukkan pengguna internet di republik itu telah meningkat kepada 196.7 juta, dengan tingkat penembusan penduduk 73.7 peratus..

Angka terkini itu adalah peningkatan 8.9 peratus daripada dua tinjauan sebelumnya, kata Hermono.

Sumber: BERNAMA

 

Malay News

Technology Desk