Liverpool: Pengurus Liverpool, Arne Slot, berkata pasukannya bermain lebih baik musim ini walaupun ada waktunya tewas, sambil menekankan impak sepakan tetap selepas kemenangan 5-2 ke atas West Ham.
Untuk kali kedua dalam sejarah Liga Perdana Inggeris, sebuah pasukan menjaringkan tiga gol daripada sepakan sudut pada separuh masa pertama apabila Hugo Ekitike, Virgil van Dijk dan Alexis Mac Allister meletakkan juara England itu di kedudukan selesa.
Gol-gol itu mengikuti trend terkini Liverpool, termasuk Van Dijk yang menjaringkan ketika menentang Sunderland dan Bournemouth.
Ibrahima Konate menyumbat menerusi sepakan sudut menentang Newcastle, dan sepakan percuma menakjubkan Dominik Szoboszlai dalam kekalahan 2-1 kepada Manchester City.
Liverpool berubah daripada pasukan terburuk di Liga Perdana daripada segi perbezaan gol dijaringkan dan dibolosi daripada sepakan tetap pada akhir 2025, kepada antara kelab terbaik setakat ini pada 2026.
“Sangat menggembirakan kerana pertama, itulah sebab kami menang, dan kedua kerana orang kata ‘beraksi dengan bagus’ dan pada pandangan saya, kami bermain lebih baik walaupun tewas atau dibolosi daripada sepakan tetap.
“Pada separuh musim pertama, hampir setiap sepakan tetap yang kami bolosi masuk. Kami mula menjaringkan gol daripada sepakan tetap dan keadaan menjadi lebih cerah berbanding ketika tidak menjaringkan go,” kata Slot.
Liverpool menamatkan kontrak jurulatih sepakan tetap, Aaron Briggs, pada akhir tahun lalu, tetapi Slot menegaskan perubahan itu tidak memberi kesan besar.
“Kami mencipta banyak peluang pada separuh musim pertama tetapi terlalu kerap gagal menukarnya menjadi gol.
“Mungkin ada satu atau dua perubahan kecil dari segi defensif dan ofensif susunan sedikit berbeza tetapi sebab terbesar ialah keadaan kembali normal,” kata Slot.
Kemenangan itu melonjakkan Liverpool ke tangga kelima liga dan kembali berada di kedudukan terbaik untuk kembali ke Liga Juara-Juara musim depan.
Kedudukan lima teratas dijangka hampir pasti untuk kelab itu bermain di pentas Liga Juara-Juara musim depan, susulan prestasi cemerlang kelab Inggeris dalam saingan Eropah musim ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




