Transformasi Subang sebagai hab moden

Transformasi Subang sebagai hab moden

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Batik Air melancarkan laluan antarabangsa pertamanya dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang (SZB) sebagai hab dinamik yang dijadual bermula 28 Julai depan.

Batik Air akan mengendalikan penerbangan harian ke Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang, Bangkok (DMK), menandakan detik penting dalam pertumbuhan syarikat penerbangan itu serta usaha mengembalikan kegemilangan Subang sebagai pintu masuk utama penerbangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, pelancaran itu menandakan permulaan bab baharu apabila pengembara dapat menikmati kemudahan penerbangan yang lebih dekat dengan bandar, sambil mengakses rangkaian serantau yang semakin berkembang.

“Kami bangga menjadi perintis dalam transformasi Subang sebagai hab moden berasaskan bandar dan Bangkok hanyalah permulaan.

“Subang menawarkan alternatif yang bijak dan menjimatkan masa berbanding Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Kami percaya ia akan memainkan peranan penting dalam masa depan penerbangan Malaysia, dengan Subang kami mendekatkan dunia kepada Lembah Klang,” katanya dalam kenyataan.

Selain penerbangan harian ke Bangkok dan Kuching yang akan datang, Batik Air kini juga mengendalikan penerbangan dari Subang ke Pulau Pinang, Kota Bharu dan Kota Kinabalu. Ia menjadikan lima destinasi utama dari SZB.

Pada tarikh sama, Batik Air juga akan memulakan penerbangan harian ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KCH), sekali gus mengukuhkan lagi hubungan domestik dari Subang.

Lapangan terbang ini menawarkan alternatif lebih mudah dan dekat berbanding KLIA, khusus untuk lebih sembilan juta penduduk Lembah Klang yang tinggal dan bekerja berhampiran Subang.

Laluan SZB–DMK yang beroperasi tujuh kali seminggu, membuka sambungan mudah ke ibu kota Thailand, destinasi kegemaran rakyat Malaysia untuk budaya, makanan, beli-belah dan pengembaraan.

Dengan kedudukan Subang yang strategik selain berhampiran dengan pusat bandar seperti Petaling Jaya, Shah Alam dan Kuala Lumpur, penduduk Lembah Klang kini boleh menikmati keberangkatan dan ketibaan yang lebih pantas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top